Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Mesyuarat FOMC
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS dan mata wang utama lain hari ini apabila para pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) selama dua hari pada minggu depan.
Perkara ini berlaku di tengah-tengah penurunan hasil Perbendaharaan AS dan Indeks Dolar AS (DXY).
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.0815/0850 berbanding dolar AS daripada paras 4.0790/0825 pada Rabu.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penilaian semula peserta pasaran terhadap keputusan FOMC pada minggu depan telah memacu pergerakan indeks DXY AS dan para peniaga dijangka menumpukan perhatian kepada kenyataan yang akan dikeluarkan bagi mendapatkan petunjuk mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah pada Disember.
“Dalam konteks itu, sokongan terhadap DXY masih kelihatan, dan pasangan dolar AS-ringgit mungkin terus didagangkan dalam jajaran kecil,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.6035/6057 daripada 2.5790/5814 pada Rabu, turun berbanding pound Britain kepada 5.4659/4706 daripada 5.4642/4689 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5790/5830 daripada 4.5770/5810.
Bagaimanapun ringgit mencatatkan prestasi kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.0973/1120 daripada 12.1287/1434 pada Rabu, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 225.9/226.3 daripada 226.2/226.7, naik berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.43 daripada 6.44/6.45 namun menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1959/1992 daripada 3.1917/1947.
-- BERNAMA