Belanjawan 2027: Peruntukan RM8 Bilion TVET Pacu Industri Penerbangan, Automotif
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM8 bilion bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Belanjawan 2027 berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan industri penerbangan dan automotif negara.
Ketua Pegawai Insan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Amran Mohd Tomin berkata peruntukan bersasar merentas pelbagai kementerian itu selari dengan keperluan industri penerbangan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi masa depan. perubahan teknologi.
Beliau berkata inisiatif kerajaan seperti peruntukan RM500 juta bagi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta dana RM3 bilion melalui HRD Corp berpotensi besar memperkasakan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) modal insan.
"Belanjawan 2027 turut memperuntukkan RM150 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), yang membuka ruang dan peluang kepada belia India untuk menceburi sektor penerbangan.
"Pengkhususan yang diberikan untuk industri penerbangan ini adalah sangat baik dan penting bagi memastikan kemajuan TVET selari dengan keperluan sebenar industri," katanya dalam segmen Jendela Fikir di Bernama Radio bertajuk Belanjawan 2027: TVET Dari Perspektif Industri.
Amran berkata menerusi MAB Academy, MAG menawarkan dua program latihan utama dalam bidang penyelenggaraan pesawat iaitu Trainee Aircraft Maintenance Engineer (TAME) dan Trainee Aircraft Maintenance Technician (TAMT).
Program ini terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat kelayakan.
Beliau berkata MAG akan menawarkan peluang pekerjaan kepada peserta yang berjaya mendapatkan sijil, kerana kedua-dua jawatan ini sangat mendapat permintaan dalam kalangan pemain industri penerbangan, khususnya sektor pembaikan dan pemulihan (MRO).
"Ini kerana sijil kelayakan ini diiktiraf bukan sahaja di Malaysia tetapi juga global," kata Amran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Mohd Rizal Jailan berkata peruntukan TVET menerusi Belanjawan 2027 berupaya memperkukuh keseluruhan ekosistem automotif tempatan yang berkembang pesat.
Ini kerana ekosistem automotif negara tidak hanya bergantung kepada pengeluar peralatan asal (OEM), malah memerlukan sokongan rantaian pembekal komponen, vendor serta perkhidmatan lepas jualan yang cekap.
"Kita dapat lihat kecerdasan buatan (AI) mula memainkan peranan yang penting dalam kenderaan seharian, selain teknologi dan tenaga baharu.
"Melalui inisiatif TVET, graduan baharu dibekalkan dengan kemahiran asas sebelum diserap ke akademi khusus bagi menjalani latihan lanjut kerana setiap jenama kereta mempunyai teknologi yang berbeza," katanya.
Mengenai pengurusan tenaga kerja lama dan baharu, Mohd Rizal berkata tiada isu pekerja veteran ketinggalan kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan yang saling melengkapi.
"Bagi mereka yang sudah lama bekerja, kita menyediakan program peningkatan kemahiran untuk memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan teknologi baharu kenderaan.
"Generasi baharu mempunyai kelebihan dari segi pemikiran kritis dan AI, manakala tenaga kerja yang sudah berpengalaman mempunyai pengalaman bernilai," katanya.
Amran dan Mohd Rizal turut bersetuju bahawa dialog berterusan antara pengamal TVET dan pihak industri penting bagi memastikan program pembangunan TVET dan industri sentiasa relevan.
Mereka turut menggalakkan penglibatan institusi perbankan dan kewangan dalam pembiayaan latihan kemahiran tinggi yang memerlukan pelaburan modal besar.
-- BERNAMA