BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong zahirkan keprihatinan terhadap kesihatan, pendidikan pelajar susulan situasi jerebu - Fadhlina | Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu - MKN | Malaysia percepat kitaran reka bentuk semikonduktor dengan memanfaatkan IP Arm Ltd berlandaskan pengalaman 50 tahun dalam industri pembuatan - Akmal Nasrullah | Hab semikonduktor persekutuan, negeri saling melengkapi, bukan pertindihan tugas antara satu sama lain - Akmal Nasrullah | KESUMA sediakan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan berpandukan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) - Ramanan | 

Belanjawan 2027: Kerjasama Pemain Penjagaan Kesihatan Perlu Untuk Bendung Kos Perubatan - Etiqa

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara pihak berkepentingan dalam sektor penjagaan kesihatan, termasuk penyedia insurans dan takaful, bagi meningkatkan kemampuan mendapatkan rawatan serta membendung peningkatan kos perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Etiqa Insurance and Takaful Kamaludin Ahmad berkata penyedia perkhidmatan kesihatan perlu memanfaatkan inisiatif kerajaan dengan merangka langkah-langkah yang lebih konkrit bagi menangani peningkatan kos perubatan dan inflasi, di samping memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan secara keseluruhan.

Ad Banner

“Banyak yang boleh kita usahakan, seperti mempromosikan insurans perubatan dan takaful, serta pelbagai insentif, termasuk yang disasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan majikan menyediakan perlindungan perubatan untuk pekerja mereka.

“Terdapat juga kelonggaran bagi individu untuk mengeluarkan sebahagian wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan mereka mendapatkan perlindungan perubatan. Saya berpendapat ia merupakan langkah yang baik, dan syarikat insurans juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikannya,” katanya kepada Bernama.

Kamaludin berkata penekanan terhadap ketelusan lebih tinggi menerusi rekod perubatan elektronik yang membolehkan penyedia penjagaan kesihatan mengakses maklumat yang sama, merupakan antara langkah utama yang bertujuan untuk mengawal kos perubatan secara keseluruhan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ini boleh membantu mengelakkan ujian atau diagnosis yang tidak perlu apabila ujian berkaitan telahpun dijalankan, sekali gus dapat mengelakkan berlakunya pertindihan, katanya.

“Selain itu, terdapat juga gesaan untuk meningkatkan ketelusan dalam penyeragaman caj dan yuran. Saya berpendapat ia merupakan langkah yang sangat baik kerana tanpa penyeragaman dan ketelusan, wujud ruang bagi pihak-pihak tertentu untuk menaikkan harga.

“Dengan caj yang diseragamkan serta telus, pesakit juga dapat melihat dengan jelas apa yang mereka bayar. Memandangkan pesakit turut menanggung sebahagian kos penjagaan kesihatan mereka sendiri, mereka boleh mempersoalkan sama ada sesuatu caj itu wajar atau sama ada sesuatu ujian atau prosedur itu benar-benar diperlukan,” katanya.

Mengenai sama ada Belanjawan 2027 menawarkan peluang kepada Etiqa untuk memanfaatkan langkah-langkah yang dicadangkan, Kamaludin berkata ia boleh membantu syarikat itu mengembangkan pelanggannya serta meluaskan perlindungan kepada lebih banyak segmen penduduk.

“Bagi kami, pertimbangan yang lebih penting ialah keupayaan untuk meluaskan perkhidmatan kami kepada lebih ramai orang. Jika kami dapat melakukannya dengan baik, pulangan kewangan akan menyusul. 

“Pada masa yang sama, kita perlu memastikan margin yang mencukupi dikekalkan bagi menjamin kelestarian dan kesinambungan operasi kita. Justeru, perlu bagi kami untuk meluaskan pangkalan pelanggan serta berupaya menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan masyarakat yang lebih luas,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027 mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan pelan MediAsas pada Januari 2027 dengan premium mampu milik.

MediAsas ialah pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) sukarela yang dirangka secara bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan perlindungan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM200 bagi setiap pekerja untuk premium tahun pertama bagi PKS yang layak dengan had 50 pekerja bagi setiap syarikat, yang boleh memberi manfaat kepada sehingga 200,000 pekerja.

Selain itu, ahli KWSP yang berusia di bawah 55 tahun juga akan dibenarkan menggunakan simpanan Akaun Sejahtera mereka untuk membayar premium MediAsas.

-- BERNAMA