BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Gaji Minimum RM1,900-RM2,000 Wajar Dilaksana Beransur-ansur, Ikut Sektor - Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Penyelarasan gaji minimum baharu antara RM1,900 hingga RM2,000 wajar dipertimbangkan secara beransur-ansur selain mengambil kira perbezaan mengikut sektor serta negeri bagi mengurangkan tekanan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan secara bersasar adalah penting kerana struktur upah, tahap kemahiran pekerja dan kos operasi berbeza mengikut industri, manakala keadaan pasaran buruh di kawasan bandar serta luar bandar juga tidak sama.

“Gaji minimum buat masa ini berada pada paras RM1,700 sebulan dan ia bermula sejak 2012, daripada kira-kira RM900, sebelum beransur-ansur meningkat.

Ad Banner

“Gaji terakhir dirombak atau disemak kira-kira dua tahun lepas, jadi mungkin tiba masa untuk meningkatkan semula ke paras yang lebih tinggi, mungkin sekitar RM1,900 ataupun RM2,000,” katanya kepada media selepas Bank Muamalat’s Corporate Economic Forum 2026. 

Mohd Afzanizam berkata dasar gaji minimum pada asasnya bertujuan menetapkan nilai lantai bagi upah pekerja kerana pasaran buruh mungkin tidak dapat menentukan kadar gaji secara cekap sekiranya diserahkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran.

Bagaimanapun, kadar RM1,700 ketika ini bersifat seragam kerana ia terpakai kepada semua industri dan negeri, sekali gus boleh memberi tekanan yang berbeza ke atas majikan khususnya PMKS.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Untuk mengambil kira satu nilai yang lebih baik, mungkin nilai gaji minimum itu perlu dilihat mengikut setiap industri. Kalau itu boleh dilaksanakan, mungkin ia akan lebih mendapat sokongan daripada pihak peniaga, terutamanya golongan PMKS,” katanya.

Tambahnya, mekanisme pelaksanaan boleh dimulakan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada sektor-sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan.

Mengulas lanjut kesan sekiranya gaji minimum dilaksanakan secara seragam, Mohd Afzanziam berkata pendekatan itu perlu mengambil kira kepentingan pekerja dan majikan bagi memastikan dasar tersebut menghasilkan penyelesaian yang adil serta seimbang.

Katanya, gaji minimum sememangnya penting dan amat diterima dalam kalangan pekerja, namun dari sudut majikan, khususnya PMKS, tambahan dalam kos buruh boleh memberi tekanan kepada operasi perniagaan.

Justeru, pendekatan mengikut sektor dan negeri berpotensi menghasilkan dasar gaji minimum yang lebih mencerminkan keadaan sebenar pasaran buruh, selain merangsang penerimaan dalam kalangan majikan.

-- BERNAMA