BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

PTP Lengkapkan Elektrifikasi 52 Pengangkut Kontena, Pacu Operasi Terminal Lebih Hijau

ISKANDAR PUTERI, 8 Okt (Bernama) -- Penggunaan 52 pengangkut kontena elektrik (e-PM) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dijangka meningkatkan kecekapan operasi selain mempercepatkan peralihan pelabuhan itu ke arah operasi terminal yang lebih mesra alam, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata langkah itu turut membuktikan komitmen PTP untuk menerapkan aspek kelestarian dalam operasi hariannya, bukan sekadar menguji atau menunjukkan kebolehlaksanaan penggunaan kenderaan elektrik.

Loke berkata pengenalan sejumlah pengangkut kontena elektrik pada peringkat awal mungkin dapat membuktikan kebolehlaksanaan teknologi berkenaan, namun pengoperasian keseluruhan armada elektrik 24 jam mencerminkan perubahan asas dalam cara sesebuah pelabuhan menjalankan operasinya.

Ad Banner

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan rasmi keseluruhan armada yang dibekalkan oleh Terberg Tractors Malaysia (TTM) sempena pelancaran “Driving Decarbonisation: PTP e-PM Fleet Launch” di Wisma PTP di sini hari ini.

“Pada Ogos, PTP menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang memperkenalkan 21 e-PM untuk digunakan dalam operasi. Hari ini, skalanya lebih besar.

“Keseluruhan armada yang beroperasi di kawasan terminal ini 24 jam menunjukkan bahawa pelabuhan telah membuat keputusan untuk mengubah cara operasinya. Itulah perbezaan antara sekadar demonstrasi dengan peralihan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Loke berkata PTP berkembang pada kadar yang amat memberangsangkan dan menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang mengendalikan lebih 14 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) dalam tempoh setahun, selain diiktiraf sebagai pelabuhan yang berkembang paling pantas di dunia.

“Bagaimanapun, pertumbuhan yang meningkatkan jejak karbon tidak akan dapat dipertahankan untuk jangka panjang dan tidak akan dihargai oleh Malaysia mahupun dunia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia, sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perdagangan global dengan 96 peratus perdagangan negara dikendalikan melalui laut, perlu mengimbangi perkembangan pesat pelabuhan dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang disertai peningkatan jejak karbon tidak lagi mampan, sekali gus menjadikan usaha penyahkarbonan semakin penting dalam pembangunan sektor maritim dan logistik negara.

Beliau berkata peralihan PTP kepada penggunaan e-PM turut disokong penerapan teknologi pintar, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT), bagi mengoptimumkan penempatan kapal di dermaga, menambah baik perancangan laluan serta mengurangkan tempoh kenderaan tidak bergerak dengan enjin hidup.

Mengenai inisiatif kerajaan, Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan memastikan pelabuhan tidak dibiarkan menggerakkan usaha peralihan kepada operasi yang lebih mesra alam secara bersendirian.

“Antara inisiatif utama ialah Peta Jalan Kawal Selia Bunkering Hijau yang dibangunkan dengan kerjasama Australia, manakala Pelan Induk Maritim Malaysia 2026–2040 yang akan datang akan menyediakan hala tuju 15 tahun berteraskan penyahkarbonan, pendigitalan dan pembangunan armada negara.

“Kerajaan juga sedang memodenkan perundangan pelabuhan persekutuan melalui Jawatankuasa Semakan dan Reformasi Undang-Undang Maritim Malaysia, dengan usaha itu disasarkan selesai menjelang akhir 2026,” katanya.

Loke turut memuji pengeluar tempatan TTM kerana menghasilkan armada e-PM itu dalam negara, sambil berkata pembangunan teknologi tempatan akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan keupayaan Malaysia dalam teknologi maritim hijau di peringkat serantau.

Beliau berkata PTP turut memainkan peranan strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai hab maritim dan logistik pintar yang menjadi pemangkin kepada sasaran ekonomi Johor untuk mewujudkan 400,000 pekerjaan berpendapatan tinggi serta meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri kepada RM260 bilion.

PTP menutup 2025 dengan rekod jumlah kendalian sebanyak 14 juta TEU dan menyasarkan peningkatan kepada 16 juta TEU setahun menjelang 2029 menerusi peluasan Berth Zero.

-- BERNAMA