BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Menyuntik Kejayaan Luar Biasa Formula 1 Ke Dalam Belanjawan 2027

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Ketika rakyat Malaysia masih merasai bahang kehangatan kembalinya Formula 1 (F1) ke Sepang selepas sembilan tahun tidak beraksi, sewajarnya Belanjawan 2027 turut dirangka mengikut acuan yang sama yang mampu menjana limpahan serta impak lebih meluas kepada rakyat, terutamanya memandangkan Malaysia bakal menyambut ulang tahun ke-70 tahun depan.

Sambutan luar biasa terhadap jualan tiket F1 MADANI memberikan gambaran jelas tentang bagaimana aktiviti ekonomi berskala besar mampu mewujudkan peluang melangkaui acara utama itu sendiri, sekali gus menjana pulangan besar menerusi pelbagai aktiviti, daripada sektor pelancongan dan hospitaliti hinggalah kepada penjualan makanan.

Ad Banner

Perlumbaan F1 Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang berjaya menarik kehadiran 261,000 pengunjung, satu rekod baharu, serta menjana keseluruhan impak ekonomi RM1.3 bilion untuk Malaysia.

Ini sekali gus mewujudkan peluang bagi rakyat biasa dan usahawan tempatan, termasuk peniaga kecil dan perniagaan yang terlibat dalam pelbagai aktiviti, seperti perkhidmatan pengangkutan motosikal bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang teruk di Sepang.

Begitu juga, apabila Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat esok, kerajaan dijangka terus menumpukan perhatian kepada satu matlamat utama, iaitu memperkukuh taraf hidup rakyat serta, yang paling penting, mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, mengatasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 5.8 peratus.

Pertumbuhan bagi 2026 diunjurkan kekal dalam jajaran 4 hingga 5 peratus, dengan perkembangan terkini menunjukkan bahawa pertumbuhan keseluruhan boleh mencecah sekitar 5 peratus pada tahun ini.

Ekonomi negara mungkin kelihatan kukuh di atas kertas, namun ukuran sebenar kejayaan adalah sama ada rakyat dapat merasai perubahan itu dalam kehidupan harian mereka, melalui pekerjaan yang lebih baik, pendapatan lebih tinggi, kos sara hidup yang terkawal serta peluang ekonomi yang lebih luas.

Kekuatan Malaysia terletak pada asas ekonominya yang kukuh, namun memandangkan cabaran yang berterusan terutamanya harga minyak yang tinggi dan peningkatan kos subsidi bahan api, tiada ruang untuk bersikap leka.

Hakikatnya, walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan, tekanan kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia memandangkan terdapat cabaran yang berada di luar kawalan kerajaan.

Jangan kita lupa, Malaysia melangkah ke tahun baharu 2026 berbekalkan pencapaian cemerlang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada penghujung 2025, namun seawal bulan Februari negara terpaksa merangka semula strategi apabila meletusnya konflik di Asia Barat.

Kita berdepan dengan kemungkinan kekurangan bahan api dan harga barangan naik mendadak.

Justeru, Belanjawan 2027 perlu mengandungi dasar yang jelas, pelaksanaan yang berkesan selain fleksibiliti bagi menangani risiko luaran yang mungkin timbul.

Apa yang pasti adalah rakyat boleh mengharapkan usaha berterusan kerajaan untuk menarik pelaburan asing yang menjurus kepada industri menjana nilai lebih tinggi, pekerjaan dengan gaji yang lebih baik serta pemindahan teknologi lebih besar.

Malaysia tidak seharusnya bersaing semata-mata hanya dengan menawarkan tenaga kerja murah. Kita perlu beralih ke arah industri bernilai lebih tinggi yang membolehkan produktiviti dan upah turut meningkat seiring.

Teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi semakin penting, namun hal ini perlu disokong oleh infrastruktur tenaga, air dan digital yang terjamin.

Bagi pekerja, usaha ke arah gaji minimum yang lebih tinggi wajar diteruskan, namun dengan mengambil kira kemampuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk melaksanakannya.

Perniagaan yang lebih kecil perlu disokong melalui peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi dan akses kepada pembiayaan supaya gaji yang lebih baik tidak mengakibatkan perniagaan ditutup atau kehilangan pekerjaan.

Meskipun gaji yang lebih tinggi boleh membantu, namun ia mungkin tidak dapat menangani secara langsung peningkatan kos sara hidup.

Jadi di sinilah subsidi memainkan peranannnya.

Walaupun kerajaan dijangka terus memberikan subsidi, khususnya bagi bahan api, kemungkinan besar akan terdapat pelarasan seterusnya yang bertujuan menyokong golongan yang benar-benar memerlukan dalam mana-mana sistem kewangan. Selain itu, usaha akan dipertingkatkan untuk menangani ketirisan dan mengurangkan pembaziran.

Apabila subsidi dirasionalisasikan, alternatif sewajarnya perlu disediakan untuk memastikan rakyat tidak berdepan dengan kenaikan mendadak kos keperluan asas.

Sebagai kesinambungan daripada empat Belanjawan Kerajaan MADANI yang terdahulu, kita juga boleh menjangkakan pembaharuan dan inisiatif untuk menangani kartel serta amalan monopoli yang menjejaskan pengguna.

Matlamat utama seharusnya mewujudkan pasaran yang lebih berdaya saing, yang dapat memberikan pilihan lebih baik serta harga yang lebih adil kepada pengguna.

Begitu juga, rakyat boleh menjangkakan tumpuan yang lebih besar terhadap tadbir urus dan keberkesanan perbelanjaan awam.

Entiti berkaitan kerajaan dan pelaburan awam berskala besar perlu terus disemak semula bagi memastikan sumber awam menjana nilai. Tadbir urus yang kukuh penting, terutamanya apabila melibatkan sejumlah besar dana awam.

Dari segi percukaian, sama ada perbincangan melibatkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau pendekatan hibrid yang turut merangkumi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), prinsipnya perlu kekal sama, iaitu tidak menggunakan sistem percukaian semata-mata untuk memberikan tekanan yang lebih berat terhadap rakyat.

Sebarang pembaharuan percukaian mestilah menjana nilai lebih kukuh, telus, dan disertai dengan penambahbaikan ketara dalam perkhidmatan awam.

Apa yang boleh diharapkan rakyat adalah Belanjawan 2027 akan berkisar pada kesinambungan, kestabilan dan kemajuan yang mampan.

Kerajaan mempunyai peluang untuk memperkukuh asas negara sambil merapatkan jurang yang terus dialami rakyat.

Pertumbuhan ekonomi penting. Pelaburan asing dan domestik penting. Disiplin fiskal penting.

Namun, hasil sebenar seharusnya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, pendapatan yang lebih baik, kos sara hidup berpatutan, perniagaan yang lebih kukuh serta kualiti hidup yang lebih baik bagi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Inilah makna sebenarnya kemajuan ekonomi kepada rakyat.

-- BERNAMA