BERITA TERKINI   ACC 2026/2027: Kuching City 2-2 Tampines Rovers | Bernama terima Anugerah Penyiaran Media Massa pada majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA) malam ini | 

Sasaran IGEM 2026 Jana Potensi Perniagaan RM22.5 Bilion Mampu Dicapai -- Arthur

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 bermula hari ini hingga 9 Oktober, dijangka mampu mencapai sasaran potensi perniagaan bernilai RM22.5 bilion berbanding RM5.5 bilion yang disasarkan pada tahun lepas.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yakin ini turut dipacu oleh kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selaku penganjur dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai rakan strategik acara itu yang mempermudah serta menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi hijau. 

Beliau berkata sasaran lebih tinggi itu juga ditetapkan berdasarkan peningkatan kesedaran industri terhadap kepentingan peralihan kepada teknologi hijau lebih mampan selain dasar dan perancangan kementerian yang semakin jelas.

Ad Banner

"Pada April lepas, kita telah melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan sudah beri banyak isyarat kepada pasaran dan industri yang kita mahu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim kita secepat yang mungkin. 

"Di samping itu, saya juga telah membuat pengumuman tidak akan memberi lesen pelepasan yang baharu kepada pencemar yang tidak mematuhi Peraturan Udara Bersih di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling," katanya ketika merasmikan acara pemotongan reben sempena IGEM 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

 Majlis Perasmian IGEM 2026 dijangka dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, esok. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau menegaskan kementerian itu telah memberi isyarat jelas kepada industri untuk mengambil langkah sewajarnya bagi mematuhi peraturan dan akta sedia ada, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran udara. 

"Susulan itu, teknologi yang lebih moden diperlukan bagi menyokong pelaksanaan undang-undang dan dasar sedia ada," katanya. 

Mengulas IGEM kali ini, Arthur berkata IGEM edisi ke-17 yang bertemakan “Race Towards Net Zero: Action Beyond Boundaries” atau Perlumbaan Ke Arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih: Tindakan Melangkaui Sempadan, anjuran bersama NRES serta Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), dijangka menarik 60,000 pengunjung.

Menurutnya, tempahan ruang pameran berjaya mencapai 100 peratus dengan hampir 200 pempamer merangkumi 70 peratus pempamer tempatan dan baki 30 peratus adalah firma antarabangsa. 

"Kita turut memperkenalkan segmen baharu iaitu gaya hidup bagi menarik pengguna, termasuk bidang fesyen untuk menanam nilai kemampanan dalam industri berkenaan selain kehadiran artis dan pempengaruh untuk membantu mempromosikan nilai fesyen lestari," katanya.

Pada majlis berasingan, Arthur menyampaikan anugerah kepada pemenang enam kategori gerai pameran pada majlis meraikan peserta pameran.

Penerima anugerah gerai pameran terbaik dimenangi oleh Bio Eneco Sdn Bhd, gerai pameran berinfomatif diraih Tenaga Nasional Berhad (TNB), gerai pameran lestari Shenzhen Sofarsolar Co. Ltd, gerai paling kreatif diraih Solax Power Network Technology (Zhejiang) Co. Ltd, gerai paling interaktif dimenangi Tractors Malaysia manakala MIDA menerima Anugerah Apresiasi Terbaik.

-- BERNAMA