BERITA TERKINI   Bernama terima Anugerah Penyiaran Media Massa pada majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA) malam ini | Jerebu: Semua sekolah di Johor ditutup dua hari bermula esok susulan kemerosotan kualiti udara - Exco | Belanjawan 2027 terus beri tumpuan ringankan beban, lindungi rakyat, buka peluang dan pastikan manfaat pembangunan yang lebih adil - PM Anwar | Belanjawan MADANI ke-5 berpaksikan tekad jelas bahawa ekonomi negara perlu terus diperkukuh, pertumbuhan diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik - PM Anwar | Tunggakan bayaran balik pinjaman untuk projek infrastruktur asas kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM8.084 bilion setakat 31 Dis tahun lepas - Chin Tong | 

AMEC Seru Kerajaan Iktiraf Industri Kurier Sebagai Infrastruktur Penting

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC) menyeru kerajaan supaya mengiktiraf industri kurier sebagai infrastruktur penting kepada ekonomi digital dan ketahanan negara serta menyokong pembangunan berterusannya melalui Belanjawan 2027. 

AMEC dalam kenyataan hari ini memaklumkan rangkaian kurier menghubungkan perniagaan Malaysia dengan pelanggan, membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran yang lebih luas serta menyokong perdagangan dan peluang pekerjaan di seluruh negara.

Menurutnya perkhidmatan yang boleh diharapkan dan pada harga kompetitif penting kepada pertumbuhan perniagaan dan keperluan harian pengguna. 

Ad Banner

Presiden AMEC Ronald Tan dalam kenyataan sama berkata ekonomi digital Malaysia bergantung kepada rangkaian penghantaran yang boleh diharapkan. 

“Belanjawan 2027 memberi peluang untuk memperkukuh persekitaran yang membolehkan syarikat kurier melabur, meningkatkan produktiviti dan terus berkhidmat kepada perniagaan serta pengguna dalam jangka panjang.

“Industri kurier yang baik menyokong pertumbuhan perniagaan dan komuniti yang menerima perkhidmatannya dan AMEC kekal komited untuk menyumbang pengalaman industri dan bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan bagi menyokong keutamaan ekonomi Malaysia,” kata Tan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

AMEC berharap Belanjawan 2027 akan menyokong pemodenan industri melalui penggunaan teknologi, peningkatan kecekapan operasi dan pembangunan tenaga kerja bagi membantu syarikat kurier meningkatkan mutu perkhidmatan serta memenuhi jangkaan pelanggan yang berubah. 

Persatuan itu juga turut menekankan kepentingan persekitaran operasi yang mampan dari segi komersial, yang membolehkan syarikat kurier melabur dalam rangkaian mereka, membangunkan tenaga kerja dan mengekalkan perkhidmatan yang boleh diharap di seluruh negara.

“Peningkatan berterusan dalam produktiviti, mutu perkhidmatan dan inovasi akan menyokong matlamat ini,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, AMEC mengalu-alukan libat urus berterusan dengan kerajaan dan pihak berkepentingan mengenai langkah praktikal untuk memperkukuh industri. 

-- BERNAMA