BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Kerjasama Koperasi-Swasta Berpotensi Diperluas Ke Sektor Pendidikan, Kesihatan - KUSKOP

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara koperasi dan syarikat swasta berpotensi diperluas ke pelbagai sektor seperti kesihatan dan pendidikan, selain dijadikan model untuk memperkukuh kerjasama antara koperasi Malaysia dengan negara-negara ASEAN.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Mohamad Alamin berkata Malaysia boleh berkongsi kepakarannya dengan negara ASEAN lain dalam pelbagai sektor, misalnya kesihatan dan sekali gus membantu ekonomi negara.

"Kita ada rangka kerja ASEAN dan terdapat beberapa negara yang memerlukan bantuan Malaysia terutamanya bagaimana untuk meningkatkan sistem pendidikan dan kesihatan mereka. Ini adalah bidang-bidang sektor yang kritikal yang mereka perlukan bantuan.

Ad Banner

"Justeru itu, saya menggalakkan agensi kita melalui ANGKASA, bekerjasama dengan pihak swasta, Optimax contohnya, untuk meneroka peluang dan pelaburan baharu sekali gus memperkenalkan produk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara MyANGKASA Holdings Sdn Bhd dan Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd (OESC) di sini, pada Rabu.

MyANGKASA Holdings Sdn Bhd dan Optimax Eye menandatangani perjanjian kerjasama bagi memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mata dalam kalangan anggota koperasi dan ahli keluarga mereka yang layak di seluruh Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MyANGKASA Holdings merupakan anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), manakala Optimax Eye merupakan anak syarikat milik penuh Optimax Holdings Bhd (Optimax).

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata perjanjian tersebut akan berkuat kuasa bagi tempoh awal selama tiga tahun dan boleh diperbaharui selepas itu bagi tempoh satu tahun secara berturut-turut, tertakluk kepada persetujuan bertulis daripada kedua-dua pihak.

Menerusi kerjasama ini, anggota koperasi yang layak serta ahli keluarga terdekat akan mendapat akses kepada rangkaian perkhidmatan penjagaan mata Optimax Eye di seluruh negara, merangkumi pemeriksaan mata, konsultasi, rawatan serta prosedur pembedahan yang disyorkan oleh pakar mata bertauliah, katanya.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata sebahagian daripada 7.3 juta anggota koperasi merupakan pekerja kerajaan yang boleh mendapatkan perkhidmatan berkenaan melalui bayaran secara potongan gaji.

Sementara itu, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Pengerusi Optimax Datuk Seri Dr Chen Chaw Min menyasarkan 2,000 pengunjung yang terdiri daripada ahli ANGKASA untuk mengunjungi 25 cawangan Optimax Eye di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini. 

-- BERNAMA