BERITA TERKINI   ACC 2026/2027: Kuching City 2-2 Tampines Rovers | Bernama terima Anugerah Penyiaran Media Massa pada majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA) malam ini | Jerebu: Semua sekolah di Johor ditutup dua hari bermula esok susulan kemerosotan kualiti udara - Exco | Belanjawan 2027 terus beri tumpuan ringankan beban, lindungi rakyat, buka peluang dan pastikan manfaat pembangunan yang lebih adil - PM Anwar | Belanjawan MADANI ke-5 berpaksikan tekad jelas bahawa ekonomi negara perlu terus diperkukuh, pertumbuhan diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik - PM Anwar | 

Seramai 164,435 Pembayar Cukai PMKS Boleh Pilih Terus Laksana e-Invois - Liew

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Seramai 164,435 pembayar cukai dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah memilih untuk melaksanakan e-Invois secara sukarela walaupun kini dikecualikan daripada pelaksanaan sistem itu.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata mereka merupakan sebahagian daripada 1.1 juta pembayar cukai dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan RM3 juta dan ke bawah yang kini dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.

“Mereka boleh pilih teruskan ataupun mereka boleh pilih tidak teruskan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung jumlah entiti perniagaan atau syarikat yang dikecualikan daripada melaksanakan e-Invois serta anggaran impak pengecualian tersebut terhadap potensi hasil cukai negara.

Mulai 1 Sept 2026, kerajaan mengumumkan kalangan PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.

Liew berkata kerajaan sedang dan akan terus berusaha mengurangkan beban birokrasi serta memastikan PMKS tidak terbeban dengan keperluan pematuhan sistem e-Invois dan cabaran lain yang dihadapi selepas pandemik COVID-19.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Antara cabaran yang dihadapi PMKS, katanya, termasuk pematuhan cukai, peralihan daripada kedai fizikal kepada platform dalam talian serta persaingan daripada negara lain.

Sementara itu, Liew berkata syarikat dengan jualan tahunan melebihi RM100 juta telah melaksanakan e-Invois bermula 1 Ogos 2024 melibatkan 5,578 pembayar cukai.

Pelaksanaan itu kemudiannya diperluaskan kepada syarikat dengan jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta melibatkan 14,567 pembayar cukai, syarikat dengan jualan antara RM5 juta hingga RM25 juta melibatkan 51,710 pembayar cukai dan syarikat dengan jualan RM3 juta hingga RM5 juta melibatkan 25,503 pembayar cukai.

-- BERNAMA