Malaysia Berpotensi Melepasi Sasaran Pengeluaran Minyak Sawit 2026 - Noraini
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia berpotensi melepasi sasaran pengeluaran minyak sawit bagi tahun 2026 susulan pengeluaran yang berada pada landasan yang baik, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Jumlah pengeluaran minyak sawit Malaysia pada tahun ini diunjurkan berada antara 19.5 juta dan 19.8 juta tan. Dalam tempoh tujuh bulan lepas, Malaysia telah menghasilkan 10.8 juta tan minyak sawit.
Beliau berkata perkembangan industri yang positif dan strategi pemasaran yang agresif memberi keyakinan bahawa prestasi pada tahun ini sekurang-kurangnya mampu menyamai atau mengatasi pencapaian tahun lepas.
“Sekarang ini, pengeluaran selaras dengan fokus kita dan kita menyasarkan pengeluaran terus meningkat.
“Kita mempunyai tempoh dua bulan lagi. Saya melihat prestasi pengeluaran yang positif. Insya-Allah, dengan pemasaran agresif dilaksanakan oleh industri, kita mampu mencatatkan prestasi sekurang-kurangnya setara atau lebih baik daripada tahun lepas,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Kuala Lumpur 2026 di sini.
Katanya kementerian melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu memasarkan produk sawit Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Noraini berkata kerajaan terus menggalakkan pembangunan industri biojisim berasaskan sawit tetapi tidak menetapkan sasaran peratusan yang khusus untuk pengkomersialan biojisim.
“Saya menggalakkan pemain industri, penyelidik dan pelabur kita untuk meneroka peluang (biojisim) ini secara bersama.
“Jika kita melaksanakannya dengan baik, biojisim mampu menjana pendapatan tambahan kepada industri selain menyokong matlamat Malaysia yang lebih luas dalam bidang tenaga boleh baharu dan penggunaan sumber yang lebih cekap,” katanya.
– BERNAMA