Elemen GST Diserap Ke Dalam SST Bagi Elak Cukai Berlapis - Liew
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Cadangan menggabungkan elemen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bertujuan memastikan tiada kesan cukai berlapis (cascading) dalam sistem percukaian negara, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata SST akan kekal sebagai sistem percukaian negara, namun kerajaan akan menyerap elemen yang sesuai daripada GST ke dalam sistem sedia ada, termasuk bagi memastikan tiada kesan cukai berlapis.
“Bermakna sistem kita sistem SST, tetapi kita ambil elemen daripada sistem GST di mana memastikan tidak ada elemen cascading, tidak ada kesan cascading dalam apa yang kita ada,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengenai hala tuju sistem percukaian negara sama ada SST akan dikekalkan atau digabungkan dengan elemen GST.
Liew berkata keputusan untuk meneruskan SST dibuat kerana sistem itu lebih mudah difahami serta mempunyai sejarah lebih 50 tahun.
Beliau berkata kerajaan mahu mewujudkan keseimbangan dalam sistem percukaian bagi memastikan pengguna tidak terbeban selain memastikan perniagaan tidak terkesan dengan kesan cascading.
“Jadi apa yang kerajaan nak wujudkan ialah satu keseimbangan supaya pengguna tidak diganggu, dan business kita memastikan tidak ada kesan cascading,” katanya.
Pada 18 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji cadangan menggabungkan elemen GST dengan SST untuk memastikan sistem percukaian negara lebih progresif.
-- BERNAMA