BERITA TERKINI   Malaysia tidak akan sewenang-wenangnya hantar pulang pelarian Myanmar, proses berkenaan perlukan rundingan - PM | Malaysia adakan rundingan diplomatik dengan Myanmar mengenai penghantaran pulang pelarian, junjung hak asasi manusia - PM | PM Anwar akan bincang dengan Anthony Loke berhubung peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan | PM Anwar umum 29 Sept setiap tahun sebagai Hari Ikhtisas Malaysia | Golongan profesional perlu bantu tingkat produktiviti, perkukuh tadbir urus negara - PM Anwar | 

Sambungan ECRL, Terusan Pinglu Perkukuh Koridor Darat-laut Serantau

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Cadangan melanjutkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan, akan membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau, terutama susulan pembukaan Terusan Pinglu di China, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pelanjutan ECRL itu, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lawatan kerja ke China baru-baru ini, melibatkan penyambungan jajaran rel dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Menurut Loke, projek berkenaan berpotensi menghubungkan rangkaian rel Malaysia dengan jaringan rel Thailand di pantai timur, sekali gus mewujudkan sinergi lebih besar dalam rangkaian rel Pan-Asia.

Ad Banner

"Ini satu lagi projek yang sangat penting kerana ia akan menghubungkan Malaysia dengan rangkaian rel Thailand di sebelah pantai timur.

"Ini akan terus memperkukuh kerjasama antara pelabuhan. Kita juga berharap dapat mempertingkatkan kerjasama, khususnya antara Pelabuhan Kuantan dan Guangxi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Maritime Week 2026 (MMW2026) di sini hari ini.

Loke berkata penyambungan rangkaian rel dari Thailand ke sempadan Malaysia dan seterusnya ke ECRL akan memperkukuh hubungan pengangkutan merentasi Malaysia, Thailand, Laos, China dan Asia Tengah.

Ad Banner
Ad Banner

"Jadi, dari Malaysia ke Thailand, Laos, China dan Asia Tengah, seluruh rantau ini akan saling berhubung. Namun, ia bukan semata-mata mengenai rel kerana jaringan rel perlu dihubungkan dengan pelabuhan.

"Ia membentuk koridor darat-laut yang sangat penting di China, dan kita sedang melihat bagaimana sektor pelabuhan dapat diintegrasikan dengan sektor rel," katanya.

Beliau berkata integrasi tersebut berpotensi mewujudkan rangkaian pengangkutan yang lebih menyeluruh bagi Malaysia dan rantau ini, selain meningkatkan nilai ekonomi serta kepentingan strategik dan keselamatan negara.

"Ini akan mewujudkan rangkaian pengangkutan yang sangat penting untuk negara dan rantau ini. Diharapkan ia dapat memberikan lebih nilai ekonomi serta nilai dari sudut strategik dan keselamatan, selain memastikan rantaian bekalan tidak terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata Malaysia dan China telah mempunyai kerjasama melalui pakatan pelabuhan, manakala perbincangan lanjut bagi memperkukuh kerjasama antara pelabuhan kedua-dua negara turut diadakan semasa lawatan kerja beliau ke China baru-baru ini.

Loke mengiringi Anwar dalam lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou atas jemputan kerajaan China.

Terusan Pinglu, yang dibuka secara rasmi kepada pelayaran pada 16 Sept lepas, merupakan laluan air sepanjang 134.2 kilometer di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China, yang menghubungkan sistem Sungai Xijiang dengan Teluk Beibu.

Terusan itu direka untuk menampung kapal sehingga 5,000 tan, sekali gus menyediakan laluan lebih pendek dari barat daya China ke laut dan pasaran ASEAN.

-- BERNAMA