MOT Mohon Insentif Cukai Bagi Galakkan Pembinaan, Pembaikan Kapal Tempatan

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) mencadangkan insentif cukai diperuntukkan menerusi Belanjawan 2027 bagi menggalakkan lebih banyak kapal Malaysia dibina dan dibaik pulih dalam negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Menurut Loke cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) itu penting memandangkan pembiayaan merupakan antara isu utama yang dihadapi industri perkapalan dengan pemilik kapal terus berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan untuk pembelian kapal.

“Satu daripada cabaran utama yang dihadapi oleh ramai pemilik kapal iaitu bagaimana untuk mendapatkan pembiayaan bagi kapal mereka.

Ad Banner

"Ia bukan mudah kerana kebanyakan bank di Malaysia tidak memberi tumpuan kepada sektor ini kerana menganggapnya sebagai sektor yang berisiko sangat tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026 (MMW2026) di sini hari ini.

Loke berkata kementerian berharap campur tangan kerajaan termasuk menerusi Bank Negara Malaysia dapat membantu meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi industri perkapalan.

Beliau memberitahu kerajaan sememangnya sudah menyediakan skim pembiayaan untuk industri perkapalan, namun penggiat industri terus berdepan cabaran untuk mendapatkan pembiayaan tersebut sejak bertahun-tahun lamanya.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, Loke berkata keputusan muktamad tertakluk kepada MOF dan hanya akan diketahui apabila Belanjawan 2027 dibentangkan pada 9 Oktober.

Beliau menambah industri perkapalan sudah mengemukakan pelbagai permohonan berkaitan percukaian dan pembiayaan bagi menyokong pertumbuhan sektor berkenaan.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Loke menyatakan kerajaan menubuhkan Kumpulan Wang Pembangunan Perkapalan Malaysia (MSDF) bagi memacu pertumbuhan industri tersebut.

"Dengan menubuhkan dana ini di bawah perundangan Akta A1551 yang diwartakan baru-baru ini, kita melaksanakan satu mekanisme kewangan strategik bagi memperkukuh kapasiti perkapalan domestik secara agresif,” kata beliau.

Beliau menjelaskan MSDF merupakan satu mekanisme bagi memperkukuh daya tahan negara yang bertujuan memperkasa pengendali tempatan selain mengembangkan armada kapal berbendera Malaysia.

-- BERNAMA