CEO MDEC Anuar Fariz Fadzil Bakal Tamat Perkhidmatan Selepas Kontrak Dua Tahun
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil bakal menamatkan perkhidmatannya pada 2 Okt, 2026 selepas menyempurnakan kontrak selama dua tahun.
Agensi itu menyatakan Anuar memaklumkan kepada Lembaga Pengarah MDEC bahawa selepas pertimbangan yang mendalam, beliau memutuskan untuk tidak memohon penyambungan kontraknya kerana bersiap sedia untuk mengejar peluang baharu di luar MDEC.
Menurut MDEC, sepanjang tempoh perkhidmatan Anuar, agensi berkenaan mencatatkan pencapaian pelaburan dan peluang pekerjaan yang kukuh.
"Dari 2025 hingga Ogos 2026, MDEC meraih hampir RM180 bilion pelaburan digital daripada lebih 1,000 syarikat berstatus Malaysia Digital (MD). Pelaburan ini dijangka menjana lebih 42,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.
"Ini mencerminkan ekonomi digital yang semakin matang dan beralih dengan ketara ke arah pertumbuhan bernilai lebih tinggi yang dipacu kecerdasan buatan (AI) sekali gus meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai pengguna, malah sebagai pencipta teknologi," jelasnya dalam satu kenyataan.
Selain pelaburan, agensi itu memaklumkan Anuar turut memperkemas tumpuan MDEC terhadap pelaksanaan, akauntabiliti dan hasil ekonomi yang boleh diukur dengan prestasi organisasi berteraskan penciptaan pekerjaan, eksport, hasil dan pelaburan.
-- BERNAMA