BERITA TERKINI   Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | AirAsia menetapkan sasaran mengumpul dana US$1 bilion, kebanyakannya untuk membiayai semula pinjaman dengan kos tinggi - Tony Fernandes | Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta - BHEUU | Kenaikan harga bahan api pesawat kurang mencabar berbanding impak pandemik COVID-19 - Tony Fernandes | Malaysia dilantik sebagai anggota Lembaga Gabenor IAEA bagi penggal 2026-2028 - Kementerian Luar | 

Ringgit Ditutup Kukuh Berbanding Kebanyakan Mata Wang Utama, Susut Daripada Dolar AS

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama dan ASEAN ketika ditutup pada Isnin, namun susut berbanding dolar AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.0735/0770 berbanding dolar AS daripada 4.0685/0725 ketika ditutup pada Jumaat.

Ad Banner

Seorang penganalisis berkata pergerakan ringgit itu berlaku susulan kenaikan harga minyak mentah Brent, ketika pasaran menunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan Bank of Japan (BOJ) yang akan datang.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah Brent kini berada sekitar US$107 setong, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi ketika pasaran menunggu keputusan kadar faedah FOMC dan BOJ yang akan datang.

“Tekanan inflasi yang meningkat akan mengukuhkan jangkaan bahawa kadar faedah akan dinaikkan pada minggu ini. Susulan itu, mata wang Asia termasuk ringgit dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Pada penutup dagangan, ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.7008/7049 daripada 4.7178/7225 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding yen kepada 2.6355/6380 daripada 2.6400/6428, dan naik sedikit berbanding pound Britain kepada 5.4931/4978 daripada 5.4961/5015 sebelum ini.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2055/2085 daripada 3.2091/2125, selain meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2445/2598 daripada 12.3072/3241.

Mata wang tempatan itu turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 230.5/230.8 daripada 231.0/231.3 minggu lepas, serta meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.48/6.49 daripada 6.49/6.50 sebelum ini.

-- BERNAMA