BERITA TERKINI   Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | AirAsia menetapkan sasaran mengumpul dana US$1 bilion, kebanyakannya untuk membiayai semula pinjaman dengan kos tinggi - Tony Fernandes | Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta - BHEUU | Kenaikan harga bahan api pesawat kurang mencabar berbanding impak pandemik COVID-19 - Tony Fernandes | Malaysia dilantik sebagai anggota Lembaga Gabenor IAEA bagi penggal 2026-2028 - Kementerian Luar | 

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS Didorong Data Ekonomi AS Lebih Kukuh

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Jumaat, dipengaruhi oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada jangkaan, sekali gus menyokong dolar AS.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0680/0745 berbanding dolar AS daripada 4.0630/0670 semasa ditutup pada Khamis.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS meningkat lebih tinggi daripada jangkaan kepada 5.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos berbanding 4.8 peratus pada Julai dan mengatasi anggaran konsensus sebanyak 5.3 peratus.

Sementara itu, IHPR teras turut naik kepada 4.6 peratus daripada 4.3 peratus sebelum ini manakala Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.26 peratus kepada 99.077 mata.

“Perniagaan dilihat cenderung untuk memindahkan kos yang meningkat kepada pengguna, yang bermakna Indeks Harga Pengguna (IHP) dijangka kekal tinggi apabila ia dikeluarkan malam ini.

Ad Banner

“Oleh itu, jangkaan mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah AS semakin mendapat momentum, mendorong kepada pengukuhan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pakar Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes berkata bacaan IHPR yang lebih kukuh daripada jangkaan telah meningkatkan kebarangkalian kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada minggu depan kepada kira-kira 75 peratus.

Beliau berkata ini terus memberi tekanan kepada ringgit, terutamanya dengan pasaran ekuiti global yang lemah dan sentimen risiko yang beralih kepada pendekatan lebih berhati-hati.

“Saya tidak menjangka ringgit akan menyusut nilai dengan terlalu ketara berbanding dolar AS secara keseluruhan.

“Ia terus mendapat sokongan daripada Bank Negara Malaysia dan petunjuk ekonomi domestik yang berdaya tahan, didorong oleh aktiviti pelaburan dan eksport yang berkaitan dengan ledakan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6337/6381 daripada 2.6431/6459 semasa ditutup pada Khamis, naik berbanding euro kepada 4.7238/7313 daripada 4.7269/7315 dan tinggi berbanding pound kepada 5.4967/5055 daripada 5.5046/5100.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2082/2136 daripada 3.2113/2148 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.2696/2948 daripada 12.3331/3497 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 231.8/232.3 daripada 231.5/231.8 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.52 daripada 6.49/6.50 sebelum ini.

-- BERNAMA