BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | Jerebu rentas sempadan: Kerajaan hargai Indonesia benarkan rentas ruang udara bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan - Arthur | 

Khazanah Salur RM15 Bilion Setakat Ini Bagi Inisiatif GEAR-uP - Amirul Feisal

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) setakat ini telah menyalurkan sejumlah RM15 bilion daripada komitmen pelaburan domestik RM25 bilion menerusi inisiatif Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) diterajui Kementerian Kewangan.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata penyaluran dana itu adalah sebahagian daripada sasaran pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM120 bilion ditetapkan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pada 2024 hingga 2028.

"Daripada RM120 bilion itu, Khazanah telah memberi komitmen RM25 bilion dan menyalurkan kira-kira RM15 bilion setakat ini. Itulah rekod prestasi kami,” katanya pada program The Nation bertajuk “Backing Malaysia's Next Generation of Growth” terbitan Bernama TV.

Ad Banner

Selain Khazanah, program GEAR-uP yang turut disertai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), KWAP atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH), mencatatkan peningkatan ketara dari segi pelaburan domestik berjumlah RM20.3 bilion pada 2025 -- lonjakan sebanyak tiga kali daripada DDI RM6.6 bilion yang disalurkan pada 2024.

Khazanah juga merupakan penyumbang bahagian terbesar sebanyak RM7.9 bilion dan diikuti dengan KWSP (RM5.8 bilion), KWAP (RM5.4 bilion) dan PNB berjumlah RM1.3 bilion.

Menjelaskan selanjutnya, Amirul Feisal berkata usaha bagi meningkatkan pelaburan domestik itu juga sejajar dengan trend global yang ketara dalam negara ekonomi besar seperti Amerika Syarikat, Eropah, Kanada dan Australia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 Trend sama turut menjadi pendekatan dalam menangani gangguan rantaian perdagangan dan bekalan global akibat isu ketegangan geopolitik dan tarif.

Amirul Feisal berkata peranan dana kekayaan negara itu di bawah inisiatif berkenan adalah sebagai pemangkin inovasi dan sokongan terhadap syarikat peringkat pertengahan yang berpotensi untuk berkembang, membantu syarikat meningkatkan skala pertumbuhan masing-masing dan seterusnya mendapat akses pasaran modal.

“Ini sama seperti perlumbaan berganti-ganti. Kami menyokong syarikat di peringkat pertumbuhan dan syarikat itu seterusnya beralih kepada sektor lebih matang yang menyaksikan kehadiran GLIC lebih besar untuk mengambil alih, termasuk menerusi saluran seperti tawaran awam permulaan (IPO).

“Setakat ini, kami melihat perkembangan yang baik dan telah membuat pelaburan besar dalam Dana Impak dan kluster peralihan tenaga. Kami turut melihat perkembangan positif dalam bidang terbabit,” katanya.

Mengulas aspek menseimbangkan objektif pembangunan nasional dengan pulangan pelaburan, Amirul Feisal berkata Khazanah melaksanakan pendekatan berasaskan kluster untuk penjajaran aspek ketampakan komersial dengan keutamaan strategik.

“Sebagai contoh, kami mengumpulkan aset-aset seperti lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pelancongan di bawah kesalinghubungan penerbangan. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan lagi aspek kesalinghubungan bagi tujuan perdagangan, pelancongan dan perniagaan yang dapat mewujudkan kesan pengganda di serata sektor berkaitan seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Begitu juga peralihan tenaga yang dipacu oleh keutamaan negara dan pertimbangan komersial. Kami mahu mempercepat anjakan kepada tenaga boleh diperbaharui bagi meningkatkan daya tahan terhadap kejutan tenaga global. Pada masa sama, pelaburan ini masih bersifat komersial tetapi turut menjadi keutamaan negara,” katanya.

 -- BERNAMA