BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | Jerebu rentas sempadan: Kerajaan hargai Indonesia benarkan rentas ruang udara bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan - Arthur | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Niaga Hadapan Serantau Mengukuh

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah ditutup tinggi pada Isnin disokong oleh aliran meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau memaklumkan niaga hadapan getah Jepun diniagakan dalam jajaran kecil disokong oleh tanda-tanda bekalan yang semakin terhad walaupun berdepan tekanan daripada penurunan harga minyak.

Ad Banner

“Kebimbangan mengenai gangguan bekalan akibat faktor cuaca di Thailand terus melonjakkan sentimen pasaran.

“Hujan lebat di kawasan utama pengeluaran getah terutamanya di utara dan timur laut Thailand menjejaskan aktiviti menoreh serta mengurangkan pengeluaran bahan mentah dengan hujan lebat dan banjir kilat diramalkan berlaku dari 27 hingga 29 Ogos,” kata peniaga itu kepada Bernama.

Peningkatan itu terus didorong oleh penurunan inventori getah Shanghai, permintaan yang kukuh daripada industri tayar dan getah sintetik China, data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif serta jangkaan sokongan fiskal selanjutnya dari China.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Inventori getah di gudang yang dipantau oleh Bursa Niaga Hadapan Shanghai menyusut 3.3 peratus berbanding minggu sebelumnya, menurut bursa itu pada 21 Ogos.

“Sektor perkhidmatan AS berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh hampir dua tahun dengan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Perkhidmatan Flash S&P Global meningkat kepada 56.8 pada Ogos iaitu paras tertinggi sejak Disember 2024,” tambah beliau.

Bagaimanapun, peningkatan itu terhad disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) naik 10 sen kepada 957 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat dua sen kepada 681.5 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup esok (25 Ogos) bersempena dengan cuti umum Maulidur Rasul dan akan beroperasi semula pada hari berikutnya.

-- BERNAMA