BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Indeks Pelopor Malaysia Meningkat 1.3 Peratus Pada Jun

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) Malaysia mengekalkan momentum positifnya dengan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.3 peratus pada Jun 2026, mencapai 114.8 mata berbanding 113.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan pertumbuhan IP ini dipacu terutamanya oleh lonjakan ketara dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain iaitu 35.1 peratus serta prestasi stabil Import Benar Semi Konduktor meningkat sebanyak 14.2 peratus. 

 "Senario ini selari dengan pengukuhan aktiviti perdagangan Malaysia, khususnya permintaan yang berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E)," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

 Bagaimanapun, menurut DOSM, prestasi keseluruhan diimbangi oleh penurunan dalam beberapa komponen terutamanya Bilangan Syarikat Baru Didaftar. 

Pada asas bulanan, IP turut mencatatkan peningkatan marginal 0.02 peratus, disumbangkan oleh Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain sebanyak 0.8 peratus.

DOSM memaklumkan arah aliran jangka panjang terlicin IP kekal di bawah 100.0 mata.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Namun begitu, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta aktiviti pelaburan yang terus meningkat. 

"Pada masa yang sama, landskap ekonomi global yang semakin dinamik serta pemulihan dalam perdagangan antarabangsa dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia," jelas DOSM. 

Bagi prestasi ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) menunjukkan pengukuhan sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun dengan 131.6 mata.

DOSM menjelaskan peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam semua komponen, terutamanya Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  naik 16.0 peratus dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit  meningkat 4.1 peratus.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IS turut meningkat sebanyak 0.3 peratus yang disumbangkan oleh peningkatan dalam Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan iaitu sebanyak 0.2 peratus.  

-- BERNAMA