BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Pembangunan Pesisir Pantai Labuan Berpeluang Jadi Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi

LABUAN, 20 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Labuan mengusulkan supaya projek pembangunan pesisir pantai Labuan dijadikan antara agenda utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memanfaatkan potensi pulau bebas cukai itu yang masih belum diterokai sepenuhnya.

Cadangan pembangunan berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Labuan pada masa depan, selain memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail hari ini mengetuai delegasi perbadanan itu dalam pertemuan dengan pegawai Kementerian Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Wilayah Persekutuan bagi memberikan taklimat mengenai keperluan merealisasikan cadangan projek berkenaan.

Ad Banner

Beliau berkata kepada Bernama bahawa cadangan pembangunan pesisir pantai Labuan melibatkan dua lokasi strategik, iaitu kawasan dari Lestari Niaga hingga tapak bekas pasar serta kawasan pesisir Nagalang.

Rithuan berkata projek itu bukan sekadar pembangunan pesisir pantai konvensional, sebaliknya dirancang sebagai pemangkin berimpak tinggi yang melengkapi projek pembangunan utama lain di pulau berkenaan.

“Pembangunan ini dijangka mengubah landskap pelancongan Labuan dengan mewujudkan tarikan baharu, selain membuka peluang ekonomi serta manfaat limpahan kepada masyarakat setempat dan sektor perniagaan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata usaha mendapatkan sokongan serta memberikan kementerian dan agensi berkaitan gambaran yang jelas mengenai keperluan projek itu penting bagi memastikan cadangan berkenaan dapat direalisasikan.

-- BERNAMA