BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Vale Kekal Pemunggahan Muatan 20 Juta Tan Bijih Besi Melalui Malaysia

IPOH, 20 Ogos (Bernama) -- Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd (Vale) menyasarkan untuk mengekalkan jumlah pemunggahan tahunannya iaitu kira-kira 20 juta tan bijih besi dari hab pengedarannya di Teluk Rubiah, Manjung, Perak, berikutan permintaan yang stabil dari seluruh rantau Asia Pasifik. 

Ketua Pegawai Pentadbiran Vale International SA (Cawangan Malaysia) Afzal Mohsin berkata strategi utama kumpulan itu di Malaysia adalah untuk mengekalkan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan konsisten bagi membekalkan bijih besi berkualiti tinggi kepada pelanggan serantau sambil menyokong usaha penyahkarbonan. 

“Bagi kami di Malaysia, matlamatnya adalah untuk menjalankan operasi yang stabil, terus berupaya menyediakan bekalan kepada rantau ini, iaitu operasi yang stabil, boleh dipercayai dan selamat,” katanya kepada pemberita pada sesi makan tengah hari bersama media Perak di sini hari ini. 

Ad Banner

Beliau menyatakan bahawa walaupun sasaran pengeluaran bijih besi global Vale ditetapkan antara 335 juta dan 345 juta tan tahun ini, kemudahan di Malaysia berperanan penting dalam rantaian nilai dengan menerima bijih besi dari Brazil menerusi kapal kargo pukal Valemax, sebelum memindahkannya ke pasaran utama di rantau Asia Pasifik. 

Selain itu, tambah Afzal, syarikat itu akan terus memanfaatkan teknologi terkini untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan pelabuhan, selain mengendalikan salah satu pelabuhan automatik yang pertama di Asia Tenggara yang dilengkapi dengan mesin pemunggah kapal autonomi.  

“Kami benar-benar melihat bahawa penggunaan teknologi untuk menjadi pelabuhan yang lebih cekap dan pada masa sama membina kapasiti dalam pasukan kami di Vale, Malaysia,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, Vale International SA adalah cabang perdagangan gergasi perlombongan Brazil, Vale yang berpangkalan di Switzerland, iaitu salah satu syarikat perlombongan terbesar di dunia dan peneraju global dalam pengeluaran bijih besi. 

-- BERNAMA