Nasihat Kepada Tabung Haji Sebahagian Daripada Mandat Kestabilan Kewangan BNM

Oleh Karina Imran dan Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa nasihat yang diberikan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebahagian daripada mandat kestabilan kewangannya di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Sebagai repons kepada Bernama, bank pusat itu menyatakan bahawa peranan bank pusat itu berhubung dengan TH timbul daripada mandat untuk memantau and mengenal pasti risiko terhadap kestabilan kewangan secara menyeluruh.

Ad Banner

Ini termasuk memantau institusi-institusi kewangan bukan bank utama yang mempunyai kaitan penting dengan sistem kewangan.

Pelaksanaan mandat ini disokong oleh penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan (FSEC) di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.

“Berdasarkan pemantauannya, BNM dan FSEC mungkin, dari semasa ke semasa, memberikan nasihat kepada institusi-institusi kewangan bukan bank yang penting,” menurut BNM sebagai maklum balas kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang kini sedang menyiasat TH.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

BNM menekankan bahawa walaupun TH bukanlah institusi di bawah seliaan langsungnya, nasihat boleh diberikan kepada Lembaga Pengarah TH dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap entiti itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan kedudukan kewangan institusi tersebut kekal kukuh dan untuk mengurangkan sebarang potensi implikasi sistemik terhadap sistem kewangan negara.

Sebelum ini, bank pusat itu telah mengeluarkan lima surat amaran kepada pengerusi TH dan Menteri Hal Ehwal Agama mengenai jurang antara aset dan liabiliti TH.

Amaran BNM diikuti dengan teguran daripada Ketua Audit Negara dalam Laporan Penyata Kewangan 2017.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti dengan pelantikan ahli-ahlinya pada 20 Januari, 2022.

Laporan itu seterusnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos, 2022.

 -- BERNAMA