Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Susulan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur pada Jumaat apabila aktiviti pengambilan untung hujung minggu mengimbangi sokongan daripada niaga hadapan minyak sayuran berkaitan yang lebih kukuh.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata sentimen pembelian disokong oleh penutupan kukuh dalam niaga hadapan minyak sayuran berkaitan dan kebimbangan berterusan terhadap bekalan disebabkan oleh risiko cuaca El Nino.
Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu telah mengehadkan kenaikan yang berlaku sebelum itu.
“Momentum positif itu kembali reda menjelang penutupan, dengan kontrak Oktober, iaitu bulan ketiga paling aktif ditutup di bawah harga penyelesaian pada hari sebelumnya,” kata beliau kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2026 tidak berubah pada RM4,528 satu tan, manakala September 2026 susut RM32 kepada RM4,576 satu tan dan Oktober 2026 susut RM14 kepada RM4,710 satu tan.
Sementara itu, kontrak November 2026 menokok RM2 kepada RM4,807 satu tan, Disember 2026 meningkat RM17 kepada RM4,879 satu tan dan Januari 2027 mengukuh RM28 kepada RM4,936 satu tan
Jumlah dagangan susut kepada 109,995 lot daripada 136,861 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 327,575 kontrak daripada 322,540 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan susut RM10 kepada RM4,520 satu tan.
-- BERNAMA