BERITA TERKINI   Kira-kira 87,000 pesakit berdaftar di bawah program Ubat Melalui Pos dijangka nikmati penghantaran ubat percuma mulai 1 Okt ini - Fahmi | Pendaftaran Ubat Melalui Pos hanya dilakukan melalui fasiliti KKM dan bukan menerusi akaun media sosial - Fahmi | Empat daripada 10 ahli mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 menjelang usia 60 tahun - PM Anwar | Kerajaan telah memperuntukkan RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas, memanfaatkan 180,000 warga emas Malaysia serta memperluaskan pusat aktiviti - PM Anwar | Kes FELDA: Bekas CEO FIC didakwa di Mahkamah Sesyen KL atas dua tuduhan perdaya berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City  | 

Unit DPS Resources, CEIG Meterai MoU Kerjasama Pusat Data Dan Infrastruktur Tenaga Di Melaka 

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- DPS Resources Bhd (DPS), melalui anak syarikat milik penuhnya, DPS Energy Sdn Bhd (DPSE) dan Shantawood Sdn Bhd (SSB), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CEIG (M) Sdn Bhd (CEIG) untuk meneroka potensi kerjasama pusat data dan infrastruktur berkaitan di Melaka.

CEIG merupakan anak syarikat milik penuh China Energy International Group Co Ltd (CEEC).

Menurut DPS dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DPSE, SSB dan CEIG akan meneroka peluang berkaitan pembangunan, reka bentuk, pembinaan, promosi dan pemasaran pusat data serta infrastruktur tenaga berkaitan di tapak projek cadangan DPS di Melaka.

Ad Banner

Ia melibatkan tapak projek di Lendu dan Bukit Rambai, termasuk penyelesaian tenaga boleh baharu dan hijau, penjanaan dan penghantaran tenaga serta infrastruktur air.

Syarikat itu memaklumkan cadangan kerjasama berkenaan bertujuan mewujudkan ekosistem pusat data yang bersepadu dan mampan, merangkumi pembangunan pusat data, penjanaan tenaga menggunakan turbin gas, solar dan tenaga boleh baharu, penghantaran tenaga, infrastruktur bekalan air serta penyertaan berpotensi daripada pelanggan, pelabur, penyewa dan pembeli tenaga.

Tapak projek di Lendu meliputi kira-kira 139.62 hektar tanah, dengan cadangan kapasiti tenaga antara 500 megawatt (MW) hingga satu gigawatt (GW) manakala tapak projek di Bukit Rambai melibatkan kira-kira 8.09 hektar ruang kilang sedia ada dengan cadangan kapasiti tenaga kira-kira 89 MW dan potensi peningkatan kepada 400 MW.

Ad Banner
Ad Banner

“Berdasarkan MoU itu, pihak-pihak terbabit juga akan meneroka reka bentuk dan pembinaan Pusat Data DPS 1 di tapak cadangan di Lendu, Alor Gajah, Melaka, termasuk loji janakuasa turbin gas modular Kelas F berkapasiti 500 MW yang boleh ditingkatkan kepada 1.5 GW jika diperlukan, bagi membekalkan bekalan tenaga yang dijana sendiri untuk Pusat Data DPS 1.

"Kerjasama itu juga merangkumi potensi pembangunan ladang solar di atas tanah seluas 344 hektar milik usaha sama DPS bagi menjana tenaga hijau, serta infrastruktur bekalan air yang diperlukan untuk pusat data berkenaan," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan dan Pengasas Tan Sri Sow Chin Chuan berkata MoU berkenaan merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha DPS untuk membina pusat data bersepadu dan ekosistem infrastruktur tenaga di Melaka.

"Dengan menggabungkan pembangunan pusat data, penjanaan tenaga, tenaga boleh baharu dan infrastruktur air, cadangan kerjasama itu menyediakan platform bagi DPS untuk terus memanfaatkan potensi nilai tanah dan aset sedia ada kami di Lendu dan Bukit Rambai," katanya.

-- BERNAMA