Ahli Ekonomi Optimis Selepas Pertumbuhan KDNK Malaysia Catat 6.0 Peratus Pada Suku Kedua 2026
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ahli ekonomi telah menyemak semula jangkaan pertumbuhan untuk ekonomi Malaysia pada tahun 2026 berikutan prestasi Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua 2026.
Ekonomi negara berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, memperkukuh momentum pertumbuhan asas dan memberi petunjuk daya tahan yang lebih besar terhadap kejutan luaran, kata mereka.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan mengekalkan unjuran pertumbuhan 2026 pada 4.6 peratus, manakala Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed menaikkan jangkaannya kepada 5.5 peratus hingga 6.3 peratus daripada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus sebelumnya.
Menurut Mohd Sedek, pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan itu mencerminkan penyeluruhan yang menggalakkan dalam pengembangan ekonomi negara merentas sektor, dengan pembuatan meningkat 7.3 peratus dan perkhidmatan kekal berdaya tahan pada 5.9 peratus.
Malah, prestasi itu membawa pertumbuhan separuh pertama 2026 kepada 5.7 peratus, sekali gus menyediakan penimbal lebih kukuh untuk baki tahun ini, katanya.
“Ekonomi kelihatan mampu mengekalkan pertumbuhan sekitar julat 4.0 peratus hingga 5.0 peratus walaupun prestasi eksport kukuh itu mereda kembali kepada paras normal,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek menjangkakan permintaan domestik akan menjadi pemacu marginal paling penting bagi pertumbuhan pada separuh kedua 2026, terutamanya penggunaan swasta dan pelaburan, dengan sektor luaran menyampaikan sumbangan yang sangat kukuh pada separuh kedua 2026, biarpun menghadapi ketidakpastian yang semakin meningkat.
“Lebih penting lagi, saya melihat pelaburan semakin penting berbanding penggunaan. Malaysia mendapat manfaat daripada perbelanjaan modal struktur dalam sektor semikonduktor, pusat data, infrastruktur digital dan aktiviti bernilai tinggi yang lain,” katanya.
Mohd Sedek memberitahu bahawa kadar pertumbuhan 4.6 peratus kekal sebagai jangkaan asasnya buat masa ini, selain itu beliau akan menilai prestasi ekonomi pada separuh kedua 2026 sebelum menyemak semula unjuran itu dengan lebih tinggi.
“Had atas julat 4.0 peratus hingga 5.0 peratus Bank Negara Malaysia (BNM) kini jelas dapat dicapai.
“BNM sendiri melihat permintaan domestik sebagai tunjang utama pertumbuhan, manakala pelaburan dan eksport berkaitan teknologi kekal sebagai pemacu kenaikan yang penting,” kata Mohd Sedek.
Sementara itu, Saeed menaikkan unjuran KDNK 2026 kepada 5.5 peratus hingga 6.3 peratus, berdasarkan momentum yang lebih luas merentas perdagangan, pelaburan dan permintaan domestik.
Beliau berkata Malaysia bukan sahaja mengekalkan momentum ekonomi tetapi semakin menunjukkan ciri-ciri ekonomi yang lebih canggih dan berdaya tahan, disokong oleh ketahanan institusi, kredibiliti dasar dan kestabilan makroekonomi.
“Perbahasan sedang beralih daripada sama ada ekonomi boleh mempertahankan francais pertumbuhan 4.0 peratus kepada sama ada pengukuhan modal, kecanggihan eksport, peningkatan teknologi dan kenaikan produktiviti boleh mendorongnya ke arah ekuilibrium pertumbuhan struktur yang lebih tinggi, katanya.
Beliau berkata Malaysia berjaya menarik masuk pelaburan langsung asing bersih sebanyak RM22.8 bilion pada suku pertama 2026, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, maklumat dan komunikasi, serta sektor strategik yang lain.
"Kualiti pelaburan menjadi semakin penting kerana perbelanjaan modal produktif meningkatkan kapasiti, mengukuhkan produktiviti dan memperluas potensi pertumbuhan jangka sederhana ekonomi," katanya.
Sebelum ini, BNM mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, melepasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia sebanyak 5.8 peratus.
Bank pusat menyatakan pertumbuhan lebih kukuh itu didorong oleh permintaan domestik yang mampan dan prestasi eksport yang mantap.
-- BERNAMA