Ringgit Kekal Stabil Keseluruhannya Berbanding Mata Wang Rakan Dagangan Utama Pada Suku Kedua 2026 - BNM
KUALA LUMPUR,14 Ogos (Bernama) -- Ringgit kekal stabil secara amnya berbanding mata wang rakan dagangan utama pada suku kedua 2026, meskipun keadaan kewangan global yang terus berubah, khususnya berikutan perubahan jangkaan pasaran terhadap hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS), kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata kadar pertukaran efektif nominal (NEER) berada pada negatif 0.8 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 1.4 peratus pada suku pertama 2026.
"Bagi tempoh awal tahun ini hingga 12 Ogos 2026, ringgit terus mencatatkan prestasi yang stabil secara amnya berbanding dolar AS (-0.9 peratus) serta mata wang rakan dagangan utama yang lain (NEER: -1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
NEER mengambil kira pergerakan ringgit berbanding sekumpulan mata wang.
Mengulas lanjut, BNM berkata Ringgit terus disokong oleh asas ekonomi dalam negeri yang kukuh serta momentum pertumbuhan Malaysia yang positif.
Pada tempoh mendatang, meskipun faktor luaran akan terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran, prospek ekonomi Malaysia yang positif serta pembaharuan struktur yang berterusan dijangka terus menyokong ringgit, katanya.
Mengenai pertumbuhan kredit, bank pusat itu berkata ia didorong oleh peningkatan bon korporat dan pinjaman perniagaan terkumpul.
Pembiayaan juga kekal tersedia bagi menyokong kegiatan ekonomi dan keperluan perniagaan, kata BNM.
“Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang pada 6.4 peratus pada suku kedua 2026 daripada 5.6 peratus pada suku pertama 2026. Bon korporat terkumpul pula berkembang sebanyak 8.1 peratus daripada 5.9 peratus pada suku pertama 2026.
“Ini mencerminkan penerbitan bon yang lebih tinggi, terutamanya dalam sektor utiliti dan bagi tujuan modal kerja,” katanya.
Selain itu, bank pusat itu berkata pinjaman perniagaan terkumpul meningkat 7.2 peratus pada suku kedua 2026 daripada 5.7 peratus pada suku pertama 2026, didorong oleh pinjaman bagi tujuan modal kerja dan berkaitan pelaburan.
Mengikut segmen, pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pinjaman kepada perusahaan bukan kecil dan sederhana (PKS), katanya.
Sementara itu, BNM berkata pinjaman dalam kalangan PKS meningkat 4.2 peratus (suku pertama 2026: 5.2 peratus), susulan permintaan berterusan terhadap modal kerja.
“Bagi isi rumah, pinjaman berkembang sebanyak 5.3 peratus (suku pertama 2026: 5.4 peratus), disokong pertumbuhan pinjaman pembelian rumah yang stabil,” katanya.
Bank pusat itu berkata institusi kewangan terus menyokong PKS yang berdepan masalah kewangan sementara.
"Bantuan bayaran balik, penstrukturan semula pembiayaan dan khidmat nasihat yang disesuaikan dengan keadaan peminjam terus tersedia bagi PKS yang terjejas.
“Mereka juga boleh mendapatkan bantuan melalui Skim Penyelesaian Hutang Kecil yang dikendalikan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit,” katanya.
Di samping itu, BNM berkata bantuan bersasar disediakan kepada PKS berdaya maju yang terjejas akibat gangguan susulan konflik di Asia Barat menerusi Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS.
Setakat 7 Ogos 2026, pembiayaan berjumlah RM2.8 bilion telah diluluskan, memberi manfaat kepada lebih daripada 4,900 akaun PKS.
Di samping itu, PKS boleh memanfaatkan Skim Jaminan BNM-CGC berjumlah RM10 bilion bagi memperkukuh daya tahan dan meningkatkan daya saing untuk masa hadapan, kata bank pusat itu.
-- BERNAMA