BERITA TERKINI   Pengguna yang masih dikenakan fi RM1 di ATM diminta lapor ke Bank Negara untuk tindakan susulan - Fahmi | Pembukaan Pusat Pembangunan Global syarikat fintech di TRX bukti kestabilan politik dan dasar negara terus tarik pelaburan asing - Fahmi | Jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal tangani jenayah penipuan dalam talian telah ditubuhkan pada 18 Jun - Fahmi | 

IPPFA Kekalkan Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Malaysia Pada 4.6 Peratus

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- IPP Financial Advisers (IPPFA) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 Malaysia pada 4.6 peratus meskipun dalam senario ketidaktentuan global.

Firma perancang kewangan, pengurusan kekayaan dan pelaburan itu menyatakan unjuran itu disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pelaburan swasta serta pemulihan berperingkat dalam perdagangan luar.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Mohd Sedek Jantan berkata Malaysia kekal sebagai antara penerima manfaat utama susulan tindakan penyusunan semula rantaian bekalan global ketika syarikat-syarikat multinasional terus mempelbagaikan operasi pembuatan dan mengukuhkan daya tahan pengeluaran di serata Asia.

Ad Banner

“Ekosistem semikonduktor Malaysia yang mantap, pelaburan pusat data yang terus pesat, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang berkembang dan penambahbaikan iklim pelaburan terus meletakkan Malaysia di kedudukan untuk menarik pelaburan pembuatan serta teknologi yang bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan pada sesi Webinar Tinjauan Ekonomi dan Pasaran Separuh Kedua 2026 IPPFA bertemakan "The Great Geoeconomics Rewire" atau Penyusunan Semula Geoekonomi di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Sedek berkata walaupun ketidaktentuan luaran kekal ketara, pemacu pertumbuhan Malaysia pula sebaliknya semakin dipelbagaikan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Perbelanjaan domestik menyumbang dari segi memberi asas kukuh manakala aktiviti pelaburan terus disokong oleh pengembangan semikonduktor, pelaburan berkaitan AI, infrastruktur digital dan penerusan pelaksanaan inisiatif pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata IPPFA turut menjangkakan nilai eksport mencecah sekitar RM1.8 trilion pada 2026 susulan permintaan lebih kukuh untuk produk elektrik dan elektronik, eksport semikonduktor dan pemulihan pembuatan global manakala import diunjurkan sekitar RM1.6 trilion, dipacu oleh pelaburan domestik lebih kukuht, perbelanjaan modal berterusan serta import berterusan barangan peralatan serta barangan perantara.

“Susulan itu, jumlah dagangan dijangka berkembang kira-kira 11 peratus manakala lebihan dagangan Malaysia diunjurkan pulih kepada RM200 bilion, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan luaran negara yang mantap,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata IPPFA percaya Malaysia akan terus meraih manfaat daripada perubahan struktur pembuatan global berikutan tindakan syarikat-syarikat mengalihkan pengeluaran daripada risiko penumpuan satu atau negara tunggal sahaja.

“Malaysia tidak lagi bersaing semata-mata dari segi kos tenaga kerja. Apa yang ketara, negara ini menarik pelaburan atas faktor ekosistem semikonduktor yang mantap, tenaga kerja mahir, lokasi strategik dan perkembangan peranan dalam pembuatan canggih serta rantaian bekalan AI,” katanya.

Mohd Sedek berkata IPPFA juga menjangkakan tekanan inflasi di Malaysia kekal terkawal walaupun di tengah-tengah ketidaktentuan global berterusan dengan inflasi keseluruhan diunjurkan pada purata 2.0 peratus bagi 2026, disokong oleh kestabilan permintaan domestik, penurunan harga komoditi global dan inflasi import yang terkawal.

“Kadar pengangguran juga dijangka semakin baik kepada  2.8 peratus yang memaparkan perkembangan berterusan dalam peluang pekerjaan ketika aktiviti pelaburan terus pesat dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan,” katanya.

Menyentuh prospek mata wang ringgit, Mohd Sedek berkata IPPFA mengekalkan unjuran konstruktif bagi jangka sederhana, disokong oleh asas makroekonomi Malaysia yang makin baik, kedudukan luaran sihat serta aliran pelaburan asing yang kukuh.

“Bagaimanapun, adalah mencabar bagi ringgit untuk kekal bertahan pada paras di bawah RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun asas domestik bertambah baik.

“Pendekatan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) bagi pendirian dasar monetari ‘lebih tinggi untuk tempoh lebih lama,’ kadar faedah global yang secara relatifnya tinggi serta ketidaktentuan geopolitik yang ketara, dijangka terus memberi sokongan terhadap permintaan untuk aset dolar AS,” katanya.

Mengulas pasaran ekuiti domestik, pandangan IPFA kekal positif dengan indeks penanda aras FBM KLCI mengakhiri 2026 sekitar 1,780 mata, disokong oleh peningkatan keuntungan korporat, permintaan domestik yang kukuh dan pelaburan langsung asing yang berterusan.

Dalam pada itu, Mohd Sedek berkata IPPFA telah mengenal pasti empat tema pelaburan berstruktur yang dijangka membentuk pasaran kewangan bagi separuh kedua 2026 dan selanjutnya -- lebih tinggi bagi tempoh lebih lama yang menyokong dolar AS; pasaran baharu strategik; AI sebagai keutamaan strategik negara dan keterjaminan sumber.

Beliau menyifatkan kesemua tema itu memaparkan jangkaan kenaikan kadar faedah utama AS, peluang daripada pempelbagaian rantaian bekalan global, peningkatan pelaburan dalam infrastruktur AI dan pertambahan permintaan untuk mineral kritikal dan infrastruktur tenaga.

Bagi kemajuan masa depan, IPPFA menjangkakan elemen seperti gabungan AI, pembuatan strategik, kepelbagaian rantaian bekalan dan keselamatan sumber kekal sebagai pemacu utama peruntukan modal global bagi dekad akan datang. 

“Persoalan bagi pelabur bukan lagi mengenai sama ada pertumbuhan ekonomi lebih cepat atau perlahan, tetapi bagaimana kerajaan dalam aspek hala tuju modal, industri mana yang menjadi lebih penting secara strategik serta bagaimana perniagaan membuat pelarasan terhadap ekonomi global yang semakin berpecah,” katanya.

-- BERNAMA