BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Kedudukan Dan Pengaruh Malaysia Sebagai Negara Perdagangan Jadi Ciri Utama Diplomasi Ekonomi - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kedudukan, peranan dan pengaruh Malaysia sebagai negara perdagangan yang merentasi laluan perdagangan global dan rantaian bekalan menjadi ciri utama diplomasi ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata dari semasa ke semasa, kerajaan berusaha untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan rakan perdagangan dan pelaburan sedia ada.

Katanya Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam usaha menyelaraskan tarif, menambah baik akses pasaran dan memudahkan aliran pelaburan yang lebih saksama melalui perjanjian perdagangan bebas sedia ada termasuk Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Ad Banner

Beliau berkata masa depan Malaysia mempunyai hubungan yang amat rapat dengan ASEAN.

“Itulah sebabnya kepusatan ASEAN, walaupun ada keraguan, perlu kekal sebagai asas kepada dasar luar kita dan platform utama yang membolehkan kita memperjuangkan bukan sahaja kepentingan kita, malah keamanan, kemakmuran dan kestabilan serantau,” kata beliau dalam ucaptama pada sesi Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 hari ini.

Anwar berkata Malaysia turut berhasrat untuk memperluas perdagangan dengan pasaran baharu dan pasaran berpotensi yang belum dimanfaatkan di Asia Barat, Asia Tengah, Amerika Latin dan Afrika.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Di sinilah diplomasi ekonomi berteraskan geopolitik, menjana gabungan yang ideal. Pendekatan kita ialah kerjasama dalam bidang seperti industri halal, ekonomi digital, pertanian dan teknologi hijau.

“Yang paling penting, tenaga merupakan sektor yang amat strategik. Baru-baru ini, semasa lawatan rasmi saya ke Turkmenistan, Petronas telah menandatangani perjanjian dengan syarikat tenaga milik kerajaan Turkmenistan untuk meneroka dan membangunkan dua lapangan gas utama,” kata beliau.

Anwar berkata ini disusuli dengan pemeteraian rangka kerja pembangunan hidrokarbon jangka panjang antara Malaysia dan Turkmenistan, termasuk kerjasama dalam modal insan dan teknikal.

Beliau berkata matlamat Malaysia adalah memperkukuh kerjasama sedia ada, membina kerjasama baharu dan mengekalkan hubungan ekonominya yang luas, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan.

Anwar berkata kepelbagaian bukan sekadar strategi ekonomi tetapi satu keperluan negara dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Forum selama tiga hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

-- BERNAMA