Bank Semakin Cenderung Syaratkan Syarikat Mohon Pinjaman Kemuka Laporan Kemampanan - ESGright
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Syarikat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan meraih manfaat yang lebih besar sekiranya mematuhi keperluan pelaporan kemampanan berikutan langkah itu membantu mereka mendapat akses kepada modal dan pasaran, selain mengekalkan daya saing.
Prathab V, Perunding Utama ESGright Sdn Bhd yang beribu pejabat di Malaysia berkata keadaan ini memandangkan bank dan institusi kewangan lain semakin kerap mensyaratkan syarikat yang memohon pembiayaan untuk mengemukakan laporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta membuktikan prestasi kemampanan mereka.
Beliau berkata walaupun semua syarikat tersenarai diwajibkan mengeluarkan penyata kemampanan, syarikat tidak tersenarai tidak tertakluk kepada keperluan itu.
Bagaimanapun, bagi mendapat akses yang lebih baik kepada modal dan pasaran global, kesemua syarikat digalakkan menyediakan laporan kemampanan masing-masing, katanya.
Sehubungan itu, Prathab berkata kerajaan menerusi pelbagai pengawal selia industri dan garis panduan kemampanan menggalakkan perniagaan untuk melaksanakan pelaporan kemampanan.
Beliau berkata demikian kepada Bernama baru-baru ini selepas menghadiri pertemuan yang dianjurkan bersama oleh ESGright dan Global Reporting Initiative (GRI), melibatkan 40 pemimpin kanan kemampanan korporat dan pihak berkepentingan industri untuk bertukar-tukar pandangan mengenai masa depan pelaporan ESG.
GRI adalah organisasi antarabangsa yang membangunkan piawaian pelaporan kemampanan.
Laporan Kemampanan Lebih Baik Permudah Akses Kepada Modal
Prathab berkata syarikat yang menyediakan pelaporan kemampanan yang lebih baik akan mendapat akses meluas kepada modal, termasuk modal pintar manakala syarikat yang gagal berbuat demikian berisiko ketinggalan berbanding pesaing mereka.
"Berikutan pertimbangan kemampanan adalah penting terhadap keputusan pelaburan, akses kepada pembiayaan, pengurusan risiko dan strategi korporat, Malaysia telah mengiktiraf keperluan segera untuk memperkukuh kapasiti profesional dalam bidang ini.
“Oleh itu, amalan menyediakan pelaporan kemampanan juga adalah langkah positif untuk membolehkan syarikat menjelaskan dasar, sistem tadbir urus dan sebagainya serta memastikan semua aspek berkaitan dilaksanakan dengan teratur," katanya sambil memaklumkan pelaksanaan laporan itu tidak memerlukan kos tinggi.
Malaysia Mempunyai Antara Bilangan Profesional GRI Tertinggi di ASEAN
Beliau berkata peserta yang menghadiri mesyuarat itu secara kolektif mewakili gabungan permodalan pasaran melebihi RM380 bilion, sekali gus mencerminkan kepentingan dialog tersebut dalam kalangan peserta utama pasaran.
Sejak 2023, ESGright telah berkembang menjadi penyedia latihan kemampanan profesional GRI kelima terbesar di dunia dari segi jumlah peserta yang dilatih pada 2025 manakala di rantau Asia-Pasifik pula, ESGright berada di kedudukan ketiga.
Prathab berkata sehingga kini, Malaysia mempunyai antara bilangan profesional GRI tertinggi di rantau ASEAN dan seterusnya menekankan komitmen kerajaan terhadap agenda kemampanan.
Baru-baru ini, syarikat itu dilantik sebagai rakan pendidikan pertama di Malaysia yang diluluskan oleh Yayasan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS), menawarkan kelayakan diiktiraf di seluruh dunia yang menumpukan pendedahan kewangan berkaitan kemampanan.
Beliau berkata kelayakan itu dirangka untuk melengkapkan golongan profesional korporat, pelabur, juruaudit, perunding serta pengamal kemampanan dengan pengetahuan dan kecekapan praktikal dalam pendedahan kewangan berkaitan kemampanan dan sejajar dengan piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GRI, Robin Hodess berkata berdasarkan situasi di pasaran maju yang mengutamakan amalan ESG, rangka kerja pelaporan kemampanan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan serta kapasiti sumber PKS akan memastikan syarikat relevan dan kalis masa depan.
"Saya amat yakin perniagaan di rantau Asia sangat komited terhadap ESG dan kemampanan," katanya.
Beliau berkata PKS khususnya pembekal adalah wajar untuk menyertai pelaporan kemampanan.
PKS Perlu Sokongan Lebih Kukuh dalam Terima Pakai Keperluan Kemampanan
Contohnya, bagi pembekal, amalan itu juga dapat membantu mereka memperoleh akses kepada peluang rantaian bekalan, yang penting untuk memastikan mereka kekal berdaya saing.
Beliau berkata PKS menghadapi cabaran yang berbeza berbanding syarikat besar kerana mempunyai sumber yang terhad justeru, memerlukan sokongan yang lebih kukuh dalam menerima pakai keperluan berkaitan kemampanan.
"Oleh itu, pendedahan yang jauh lebih kecil dan sesuai dengan perkara yang benar-benar diperlukan juga akan membantu PKS maju dalam usaha kemampanan mereka, walaupun usaha mereka tidak setinggi aspirasi syarikat yang lebih besar,” katanya ketika ditanya sama ada PKS akan menghadapi kesukaran untuk menerima pakai keperluan kemampanan.
Hodess berkata, pada masa sama, adalah penting untuk memastikan maklumat perlu didedahkan PKS benar-benar relevan untuk keperluan perniagaan mereka terutama untuk membantu mereka mendapat peluang dalam rantaian bekalan dan memenuhi jangkaan pelanggan.
Beliau berkata banyak syarikat besar di Malaysia, terutama syarikat yang tersenarai, adalah antara yang terawal menerapkan amalan ESG.
Sebelum Bursa Malaysia mewajibkan pendedahan kemampanan, mereka telah membuat pelaporan selaras dengan Piawaian GRI, iaitu satu piawaian pelaporan kemampanan yang diiktiraf di peringkat global, katanya.
Menurutnya, langkah ini memandangkan mereka mengiktiraf keperluan tambahan yang dipacu pasaran pada masa ini, dengan penerapan pelaporan ESG terhadap amalan perniagaan mereka memudahkan untuk mengeksport produk dan bersaing di pasaran antarabangsa.
Beban Pematuhan Jadi Cabaran Kepada Syarikat
Bagaimanapun, dalam konteks ini Hodess berkata pelaporan ESG semakin kompleks berikutan pertambahan bilangan rangka kerja pelaporan dan keperluan pendedahan.
Beliau berkata syarikat memerlukan panduan untuk memahami dan memenuhi keperluan ini, melaksanakan kewajipan pelaporan mereka, berhubung dengan pelabur dan pihak berkepentingan lain, melaksanakan penambahbaikan dalaman dan pada akhirnya memperkukuh prestasi kemampanan mereka.
Sementara itu, Prathab berkata antara cabaran terbesar yang dihadapi sesetengah syarikat adalah 'kelesuan pematuhan' berikutan peningkatan jumlah keperluan pelaporan dan garis panduan yang perlu dipatuhi.
Syarikat perlu mengimbangi tanggungjawab untuk memenuhi keperluan pematuhan dengan keutamaan penting untuk menjana keuntungan bagi pemegang saham mereka, katanya.
“Setiap syarikat perlu meneliti langkah terbaik yang boleh dilakukan untuk memberikan sumbangan besar dalam sesuatu bidang tertentu seperti alam sekitar atau kepelbagaian biologi dan memberi tumpuan untuk melaksanakan bidang itu dengan sebaik mungkin.
“Langkah ini akan memberi impak lebih besar berbanding cuba melakukan kesemua perkara dengan sempurna,” katanya.
-- BERNAMA