BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 | Sultan Selangor harap LRT3 kurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, beri pilihan perjalanan lebih pantas | Sultan Selangor zahir ucapan terima kasih dan penghargaan kepada PM Anwar setuju teruskan projek LRT3 | Malaysia sumbang US$1 juta kepada UNRWA, disalurkan secara berperingkat dari 2026 hingga 2030 --  Wisma Putra | 

SC Lantik Ahli Majlis Penasihat Syariah Baharu Bagi Penggal 2026-2029

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik tujuh anggota baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029. 

Majlis itu terdiri daripada seorang pelantikan baharu dan enam ahli yang dilantik semula, yang akan menyelia hal ehwal syariah dalam pasaran modal Islam (ICM) Malaysia.

Pelantikan baharu ialah Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, manakala enam ahli yang dilantik semula ialah Profesor Kehormat di Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali dan Perunding Syariah (Kewangan Islam) Datuk Dr Ashraf Md Hashim.

Ad Banner

Selain itu, ahli yang dilantik semula termasuk Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF Dr Marjan Muhammad dan bekas Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) Burhanuddin Lukman.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata MPS memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran modal Islam Malaysia  kekal reponsif terhadap perkembangan pasaran yang berubah sambil menegakkan prinsip syariah yang berlandaskan Maqasid alShariah

“Panduan yang diberikan oleh MPS terus menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang ekosistem ICM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mohammad Faiz berkata komposisi baharu MPS, dengan kepakaran dan pengalaman kolektif ahlinya, berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan panduan yang mantap dan berpandangan jauh mengenai hal ehwal syariah.

“Dengan kepimpinan Islam yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah sebagai pembeza utama, MPS akan memacu pertumbuhan dan kepimpinan global ICM Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Mohammad Faiz menyatakan penghargaan kepada ahli MPS yang bersara atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dan perkhidmatan berdedikasi kepada industri ICM.

“Pandangan dan kepimpinan mereka telah menyumbang ke arah memajukan ICM Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. 

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan agensi pengawal selia yang bertanggungjawab mengawal selia penerapan prinsip syariah kepada perniagaan dan transaksi ICM.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MPS, orang ramai boleh melayari laman sesawangnya di https://www.sc.com.my/development/icm/shariah/members-of-the-shariah-advisory-council.

-- BERNAMA