BERITA TERKINI   Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | Keputusan Ant International wujudkan pusat operasi globalnya di Malaysia cerminkan keyakinan meningkat terhadap kekuatan negara dalam bidang teknologi, inovasi dan AI - PM Anwar | Teknologi, kewangan dan inovasi perlu wujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan, menyokong perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan mampu milik - PM Anwar | Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | 

Hab Ant International Di KL Bakal Jana Peluang Pekerjaan, Tingkatkan Keupayaan Tempatan - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata teknologi, kewangan dan inovasi mesti mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh keupayaan domestik, menyokong pertumbuhan perniagaan dan memperluas akses kepada perkhidmatan yang berpatutan ketika Malaysia meletakkan dirinya sebagai hab serantau untuk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata keputusan penyedia pembayaran digital, pendigitalan dan teknologi kewangan global terkemuka, Ant International untuk menubuhkan Pusat Operasi Global di Kuala Lumpur harus membantu memajukan objektif ini, dan bukan sekadar menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaburan.

"Inovasi mesti kekal berteraskan pada prinsip mudah, bahawa manfaat pertumbuhan dikongsi secara meluas dan tiada komuniti yang ketinggalan.

Ad Banner

“Ini bukan sekadar mengenai keuntungan korporat, tetapi mengenai kemajuan yang berpusatkan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Operasi Global Ant International, di sini hari ini.

Sementara itu, perdana menteri berkata walaupun bank telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan modal dan memacu pertumbuhan ekonomi, sistem kewangan global tidak selalunya memberi perkhidmatan yang sama rata kepada semua segmen, malah sering tidak mengambil perhatian terhadap mereka yang mempunyai sumber dan peluang yang paling sedikit.

Beliau berkata ia amat jelas di Selatan Global, sistem kewangannya masih sangat bergantung pada dolar Amerika Syarikat (AS) dan cenderung untuk mengutamakan syarikat multinasional besar berbanding pemilik perniagaan kecil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anwar berkata beliau terdorong oleh kerjasama yang semakin meningkat dengan China, termasuk inisiatif dasar memberi manfaat kepada kedua-dua negara, seperti mempertingkatkan penggunaan mata wang tempatan iaitu yuan dan ringgit dalam perdagangan dua hala, ia telah meningkat kepada 18 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan berbanding lima peratus sebelum ini, walaupun dolar AS kekal dominan dalam urus niaga kewangan.

“Perubahan dalam penekanan dasar ini akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat.

“Justeru, walaupun ekonomi global telah berkembang di bawah sistem ini, sifatnya yang saling terhubung juga bermakna kejutan di satu bahagian dunia boleh merebak dengan cepat merentasi sempadan dan menjejaskan jutaan orang di tempat lain,” katanya.

Mengenai AI, Anwar berkata manfaat model bahasa besar (LLM) mesti diimbangi dengan perlindungan bagi memastikan teknologi digital tidak menumpukan kuasa berlebihan di tangan segelintir pihak.

“Oleh itu, kita mesti memastikan bahawa pertimbangan manusia kekal menjadi tumpuan dalam membuat keputusan, walaupun mesin menjadi lebih berkemampuan dan canggih,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ant Group, Cyril Han berkata Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi hab serantau dan global terkemuka untuk inovasi digital dan AI.

“Dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, revolusi AI ejen akan berjalan lancar, membawa transformasi dalam perdagangan yang mesti kita persiapkan sekarang, bagi memastikan ia memacu pertumbuhan perniagaan dan pembangunan sosial.

“Ant mempunyai banyak perkongsian yang erat dan jangka panjang di Malaysia dan rantau ini. Kami bersedia untuk menyokong visi Negara AI menjelang 2030 dan pendigitalan Malaysia,” katanya.

Ant International telah mewujudkan kira-kira 1,500 pekerjaan teknologi kewangan (fintech) di Malaysia, dengan lebih 50 peratus dalam peranan teknologi yang menyokong AI global, pembayaran, pendigitalan PKS dan operasi fintech.

Kira-kira separuh daripada tenaga kerja teknologinya terdiri daripada graduan baharu dari lebih 30 universiti tempatan, mencerminkan kerjasamanya dengan Perbaduan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membangunkan rantaian bakat (pekerja berkemahiran) digital Malaysia.

-- BERNAMA