KPK Sasar Pengeluaran Lada Premium Negara Naik Kepada 39,000 Tan Metrik Menjelang 2030
KUALA LUMPUR, Jun 29 (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan pengeluaran lada premium negara meningkat kepada 39,000 tan metrik menjelang 2030 berbanding anggaran 33,000 tan metrik pada 2026, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Beliau berkata sasaran itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada eksport lada mentah dan memperkukuh pembangunan produk hiliran bermutu tinggi.
“Kementerian sedang melaksanakan peralihan pasaran ini secara berperingkat tetapi berterusan menerusi pelan tindakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) daripada 2026 hingga 2030.
“Walaupun kementerian tidak menetapkan peratusan khusus bagi pengurangan eksport lada mentah, kita mempunyai sasaran pengeluaran yang jelas,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dato Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) mengenai sasaran atau garis masa yang jelas bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport lada mentah dan beralih kepada eksport produk hiliran berimpak tinggi seperti industri sawit negara.
Menurutnya sebanyak sembilan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berasaskan lada telah dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dipindahkan, dikomersialkan atau dilesenkan kepada pemain industri sepanjang tempoh 2026 hingga 2030.
Bagi menyokong usaha itu, Huang berkata Lembaga Lada Malaysia (MPB) diperuntukkan sebanyak RM45.825 juta di bawah Rancangan Pusingan Pertama RMK13 pada 2026 bagi melaksanakan 10 program pembangunan, termasuk penubuhan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Industri Lada Negara (PILN) bernilai RM20 juta sebagai hab bersepadu R&D hiliran.
Menurutnya kementerian turut komited mempercepat pengkomersialan hasil R&D menerusi ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta kerjasama industri.
Sehingga kini, seramai 1,153 usahawan telah dibimbing menerusi 53 program latihan keusahawanan manakala 228 produk runcit berasaskan lada berjaya dibangunkan dan dipasarkan.
Selain itu, bantuan mesin bernilai RM590,000 telah diagihkan kepada 42 usahawan bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran produk hiliran.
“MPB juga telah memperkukuh kolaborasi melalui memorandum persefahaman dengan Institut Farmaseutikal Dan Nutraseutikal Malaysia bermula 2023 hingga 2028 serta cadangan kerjasama dengan Syarikat Ajinomoto Malaysia Bhd untuk meneroka potensi produk perasa makanan berfungsi,” katanya.
-- BERNAMA