Katch Perkenal Automasi Berkuasa AI Pada Ekonomi Kesihatan, Kecergasan Dan Sukan
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Katch International Sdn Bhd memperkenalkan platform pertama di Malaysia yang membawa teknologi kecerdasan buatan kepada pengguna dan perniagaan dalam sektor kesejahteraan, kecergasan dan sukan.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, ia menyatakan platform itu merupakan sebuah pasaran bersepadu dan sistem operasi digital merentasi tiga segmen utama — kesejahteraan (fisioterapi dan pemulihan), kecergasan (gimnasium, studio dan kelas berkumpulan) dan sukan (pickleball, padel dan badminton).
"Pasaran kelab kesihatan dan kecergasan di rantau ini sahaja dianggarkan bernilai US$2.68 bilion pada 2025 dan diunjurkan mencecah US$4.19 bilion menjelang 2030, menurut Mordor Intelligence, iaitu sebahagian daripada pasaran gaya hidup aktif ASEAN yang dianggarkan oleh Katch bernilai lebih daripada US$30 bilion.
Namun, kebanyakan daripada perniagaan itu masih kekal di luar talian dan menurut anggaran Katch, kurang daripada 15 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor kesejahteraan dan sukan di ASEAN yang memiliki infrastruktur tempahan secara digital pada hari ini," tambah syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Katch International Lee Cheng Yun berkata di Asia Tenggara, perniagaan yang memastikan orang ramai kekal aktif, seperti gimnasium di kawasan kejiranan, gelanggang padel, pakar fisioterapi yang menyelaraskan pemindahan bank secara manual pada waktu malam adalah antara yang paling “tidak kelihatan” dari segi kewangan.
Mereka beroperasi secara tunai dan melalui aplikasi sembang yang tidak meninggalkan rekod, sekali gus menjadikan transaksi mereka sukar dikesan atau direkod dalam sistem kewangan formal.
"Setiap tempahan di Katch mewujudkan jejak transaksi digital, membina sejarah kewangan yang membolehkan kredit, insurans dan modal pertumbuhan akhirnya sampai kepada industri yang tidak pernah dapat dilihat oleh pemberi pinjaman dan pelabur sebelum ini,” katanya.
Ia sekali gus menjadikan ekonomi kesejahteraan ASEAN sedikit lebih kelihatan, bukan sahaja kepada pelanggan, tetapi juga kepada pelabur, penanggung insurans dan penggubal dasar yang sebelum ini tidak pernah mempunyai data untuk menyokongnya.
Sehingga kini, lebih daripada 30,000 pengguna berdaftar dan 179 perniagaan menggunakan platform tersebut dan 30 daripadanya adalah secara eksklusif, bermakna setiap transaksi yang di bawah perjanjian perniagaannya dijalankan melalui Katch.
Pada masa hadapan, Katch sedang melancarkan tempahan yang dikuasakan AI miliknya secara berperingkat, iaitu tempahan sukan bermula dari suku ketiga 2026, diikuti oleh kesejahteraan pada suku keempat yang mana menjelang tempoh itu, ia menyasarkan perkhidmatan bersepadu AI sepenuhnya di seluruh platform.
Ia merancang untuk berkembang di Singapura dan meluaskan sayap ke Indonesia pada tahun ini.
-- BERNAMA