BERITA TERKINI   FELCRA umum Agihan Akhir Keuntungan Penyatuan dan Pemulihan (P&P) lebih RM302.9 juta bagi 2025 libatkan 71,680 peserta | MCMC teliti kaedah pengesahan umur sebelum sekatan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial dilaksana suku kedua tahun ini -- Teo Nie Ching | Lebih RM13 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) setakat 31 Jan lepas - Akauntan Negara | 
Ad Banner

Pengendali Talian Tetap Akan Pacu Keuntungan Sektor Telekomunikasi Pada 2026 -- HLIB

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Pengendali talian tetap dijangka memacu keuntungan dalam sektor telekomunikasi Malaysia pada 2026, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Katanya, prestasi itu disokong oleh persaingan gentian optik yang semakin sederhana, pelaksanaan pusat data yang semakin pesat dan peluang untuk pembayaran dividen yang lebih tinggi.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, HLIB berkata pengendali talian tetap seperti Telekom Malaysia (TM) dan Time dotCom (TDC) berada pada kedudukan yang lebih baik bagi mengatasi pesaing iaitu pengendali rangkaian mudah alih, terutamanya pada separuh pertama 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Kami melihat TM dan TDC berpotensi memberi hasil bersih melebihi 4.5 peratus sekali gus merapatkan jurang hasil berbanding pengendali rangkaian mudah alih," katanya.

Sebaliknya, HLIB berkata pengendali rangkaian mudah alih berdepan persekitaran jangka pendek yang kurang menyokong disebabkan ketidaktentuan yang melibatkan model borong 5G Digital Nasional Bhd (DNB).

"Walaupun kami kekal positif terhadap pelaksanaan konsisten Maxis dan melihat CelcomDigi sebagai menarik secara asasnya pada tahap semasa, penarafan semula yang berterusan untuk kedua-duanya tidak mungkin berlaku.

Ad Banner
Ad Banner

"Ia sehingga terdapat keterlihatan yang lebih jelas mengenai struktur dan hala tuju jangka panjang DNB yang kami tidak jangkakan berlaku sebelum separuh kedua 2026," katanya.

Ia turut berkata persaingan dalam segmen jalur lebar gentian tetap sengit walaupun tanda-tanda awal rasionalisasi mula muncul pada akhir 2025.

HLIB mengekalkan saranan "Overweight" untuk sektor telekomunikasi dengan TM sebagai pilihan utama mereka (sasaran harga: RM8.50).

-- BERNAMA