BERITA TERKINI   FELCRA umum Agihan Akhir Keuntungan Penyatuan dan Pemulihan (P&P) lebih RM302.9 juta bagi 2025 libatkan 71,680 peserta | MCMC teliti kaedah pengesahan umur sebelum sekatan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial dilaksana suku kedua tahun ini -- Teo Nie Ching | Lebih RM13 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) setakat 31 Jan lepas - Akauntan Negara | 
Ad Banner

Perjanjian ART: Malaysia Kekal Dasar Larang Eksport Unsur Nadir Bumi Mentah - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia masih mengekalkan dasar melarang eksport unsur nadir bumi mentah (REE) bagi memastikan pembangunan industri hiliran tempatan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia menggalakkan pelaburan asing dan perkongsian teknologi bagi aktiviti perlombongan REE mentah dalam membangunkan ekosistem industri domestik yang lebih bersepadu. 

"Sehubungan ini, Malaysia mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak Amerika Syarikat (AS) mahupun negara negara lain dalam pembangunan industri REE tempatan terutamanya potensi kerjasama tripartite antara pihak Malaysia, AS dan Australia (Lynas)," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan khas berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini. 

Tengku Zafrul berkata perjanjian ART akan terus tertakluk dan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara bagi memastikan sektor strategik kekal dilindungi serta memperkukuh peluang baharu untuk rakyat dan industri domestik. 

"Dasar kita ialah untuk menghalang eksport bahan mentah murah yang tidak diproses, supaya nilai tambah berlaku dahulu di Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

"Prinsip sama terpakai kepada REE dan mineral kritikal. Selepas diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan piawaian kita sendiri, dan selepas nilai itu dicipta di sini, produk hiliran bernilai tinggi boleh dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global," katanya. 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata senarai perolehan di bawah ART Malaysia-AS bukan perkara baharu tetapi cadangan perolehan sedia ada syarikat yang tidak melibatkan sebarang dana daripada kerajaan. 

Beliau menegaskan bahawa Komitmen Pertimbangan Komersil di bawah Seksyen 6 Perjanjian ART tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan kerana pembelian yang bakal dilakukan oleh syarikat berkenaan merupakan cadangan perolehan sedia ada syarikat yang tidak melibatkan sebarang dana daripada kerajaan. 

Tengku Zafrul turut menggariskan beberapa contoh termasuk pengumuman pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group pada bulan Mac 2025, iaitu lebih awal daripada tarikh pengumuman tarif oleh Presiden Donald Trump.

Selain itu, cadangan perolehan gas asli cecair (LNG) oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dari AS merupakan sebahagian daripada strategi komersial bagi memastikan kestabilan bekalan serta memenuhi komitmen kontrak domestik dan antarabangsa.

"Perolehan LNG daripada negara pengeluar lain, termasuk dari AS akan membolehkan Petronas mengoptimumkan bekalan dan memastikan penghantaran yang stabil kepada pelanggan.  

"Ini bukan arahan politik daripada Washington (kerajaan AS). Ini keputusan komersial Petronas untuk memastikan bekalan stabil, kontrak ditunaikan, dan negara tidak berdepan krisis tenaga," katanya. 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa menerusi perjanjian ART, Malaysia kini dianggap sebagai rakan kongsi rantaian bekalan dipercayai yang akan melancarkan lagi aliran perdagangan barangan, termasuk barangan strategik dan berteknologi tinggi.

"Sebagai rakan kongsi rantaian bekalan dipercayai, Malaysia berpotensi tinggi untuk menarik lebih banyak pelaburan dari AS dan pelbagai negara lain yang ingin mengeksport ke pasaran AS, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia  sebagai hab dan destinasi pelaburan terpilih di rantau ini.

"Berdasarkan  komitmen tinggi Malaysia melalui ART, kerajaan AS turut akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada Malaysia dalam penentuan hasil siasatan bagi sektor semikonduktor di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 (Trade Expansion Act 1962) AS, dijangka akan dimuktamadkan menjelang hujung 2025," katanya. 

 

-- BERNAMA